PETALING JAYA – ‘Menghadiahkan’ jeritan, penyanyi dan pelakon, Azza menggunakan taktik histeria apabila menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang dipercayai scammer.
Azza atau nama sebenar Noor Azzarima Zawari, 48, berkata, dia berbuat demikian bagi mengajar penipu dalam talian yang menghubungi mangsa semata-mata mahu mengaut keuntungan dengan mudah.
“Awal tadi dia nak scam kata dari TNG (Touch ‘n Go), jadi hati-hati semua.
“Scammer ini belum cukup scammer nak scam saya. Saya ni psiko (gila) tau. Saya boleh berlakon gila histeria semua.
“Kau pekak tak tadi? Padan muka. Minta maaf lah ya. Akak (kakak) tak boleh tekanan, kalau tertekan saya histeria,” katanya dalam hantaran video Instagram.
Anggota kumpulan Elite itu berkata, tindakan spontan tersebut diharap dapat memberi pengajaran kepada pihak berkaitan agar jangan meneruskan modus operandi cuba menipu orang.
Dia mengakui menggunakan skil lakonan bagi mengenakan semula individu penipu seperti itu mengikut keadaan tertentu.
“Saya harap bila kau dengar pekikan aku tadi maka kau insaflah ya scammer. Kita pelakon tau, boleh bawa watak macam-macam.
Hari tu tu saya mengaji tapi kali ni kita bagi yang lain sikit mengikut tekanan hidup,” ujarnya.
Pada perkongsian sama, Azza tidak ketinggalan menasihati orang ramai agar jangan mudah terpedaya dengan penipuan dalam talian.
“Ini cara saya memberikan kesedaran pada kita semua.
“Hati-hati okey, jangan bagi apa apa yang scammer minta. Hilang duit nanti. Tekanan lagi,” katanya.
Menerusi ruangan komen, hantaran tersebut turut mendapat maklum balas penyelenggara akaun rasmi Touch ‘n Go yang menyatakan pemanggil terbabit bukan wakil sah mereka.
“Panggilan itu bukan daripada ejen kami kerana pihak TNG tidak akan sesekali menggunakan nombor peribadi, meminta pengguna klik pautan tertentu atau minta nombor pin pengguna,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE