BATU PAHAT – Barisan Nasional (BN) berhasrat untuk merampas kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan meletakkan calon-calon pada PRU-16 bagi memastikan BN memenangi kerusi Parlimen yang dimenang parti pembangkang terbabit.
“Kita (BN) akan membuat tinjauan dan kajian terhadap kerusi-kerusi yang dimenangi Pas dan Bersatu di kawasan-kawasan tertentu.
“Insha-Allah kita akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kerusi itu akan kembali dimenangi calon-calon UMNO pada PRU akan datang,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sri Gading di Dewan Orang Ramai Parit Raja di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen akan terus memberi komitmen sepenuhnya bersama Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRU-16.
Jelasnya, jika BN bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU akan datang, beliau yakin BN akan terus dapat bersama kerajaan sekarang untuk menerajui negara.
“Cuba kita bersama Pas dan Bersatu, kita ada 26 kerusi, kerusi mana kita nak ambil (bertanding).
“Kalau kita nak menang kena buat cara nak menang, jangan nak menang tapi kita tidur, jangan nak menang kita gaduh sama sendiri, jangan nak menang kita bertikam sama sendiri jangan nak menang orang lama ditinggalkan, mesti ada kombinasi”katanya.
Ahmad Zahid yakin bahawa jika akar umbi bekerja keras untuk memastikan BN menang banyak kerusi PRU akan datang, UMNO akan dominan semula dalam politik tanah air.
Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan UMNO sebagai sekutu langsung kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah tidak berasas.
Tegasnya, kerjasama yang wujud ketika ini dibentuk atas dasar kepentingan negara dan demi menjamin kestabilan kerajaan perpaduan.
“Isu UMNO-DAP ni hanyalah permainan naratif pihak lawan. Dalam BN, kita ada MCA, MIC. Dalam Pakatan Harapan (PH), kita ada rakan-rakan yang bantu kita capai kemenangan.
“Kemenangan kita hari ini bukan sebab kita hebat tapi kerana kita dibantu oleh rakan PH dan parti lain. Saya tahu, ramai yang tak setuju, tapi itulah hakikatnya,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE