SUNGAI PETANI – Seorang lagi lelaki disyaki penjenayah ditembak mati oleh polis dalam kejadian berbalas tembakan di persimpangan jalan di Sidam Kiri, dekat sini kira-kira pukul 7.50 malam tadi.
Suspek berusia 34 tahun dan memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau itu dipercayai daripada kumpulan sama dengan dua lelaki yang juga mati ditembak dalam kejadian di Jitra, pagi tadi.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, anggota polis JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah mengesan suspek di lokasi kejadian dan cuba menahannya.
“Suspek tidak memberikan kerjasama sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan sehingga penjenayah berjaya ditumpaskan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, sebentar tadi.
Suspek maut di dalam kereta jenis Toyota Camry dan pemeriksaan menemui sepucuk senjata api serta beberapa barang kes lain.
Menurutnya, suspek yang berasal dari Perak itu dipercayai ahli kumpulan yang aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun bersenjata api di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Suspek ini didapati memiliki lebih 30 rekod jenayah lampau dan risikan percaya suspek positif terlibat dalam tiga kes samun terbaharu iaitu di Melaka pada Disember, Nilai pada Mac dan terkini di Ipoh,” ujarnya.
Katanya, suspek juga dipercayai merupakan antara orang kanan dalam kumpulan berkenaan.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya percaya kumpulan itu aktif melakukan samun kedai emas sejak 2022 melibatkan kerugian hampir RM6 juta.
“Itu yang direkodkan, namun kita percaya ada banyak lagi kejadian samun melibatkan kilang, premis perniagaan dan kedai-kedai emas di kontinjen lain ada hubung kait dengan kumpulan ini,” ujarnya.
Tambahnya, kumpulan penjenayah tersebut dipercayai mempunyai belasan ahli dan pihaknya akan melakukan beberapa lagi serbuan serta tangkapan dalam masa terdekat.
“Selain aktif dalam jenayah samun, kumpulan ini juga disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah, gengsterisme, pemerasan dan perebutan kuasa,” katanya.
Tambahnya, polis akan terus bertindak secara agresif bagi menangani kes jenayah melibatkan kekerasan terutama yang menggunakan senjata api sehingga mengakibatkan kematian dan kecederaan parah. – KOSMO! ONLINE