Ahli kanan gengsterisme ada 41 rekod jenayah ‘tumpas’ ditembak

5 hours ago 4

JITRA – Dua lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan gengsterisme, samun dan dadah ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan di susur masuk Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Bandar Darul Aman, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.05 pagi itu, kedua-dua suspek warga tempatan terbabit ditemukan sudah tidak bernyawa di dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka.

Salah seorang suspek berusia 41 tahun dipercayai merupakan antara ahli kanan kumpulan yang memiliki lebih 41 rekod jenayah lampau antaranya melibatkan jenayah kekerasan, pecah rumah dan dadah.

Seorang lagi suspek masih dikenal pasti identiti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Pemerhatian di lokasi mendapati bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek remuk di bahagian belakang, manakala terdapat kesan tembakan pada cermin belakang kenderaan digunakan polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang melakukan operasi khas di kawasan tersebut.

“Walau bagaimanapun suspek tidak memberikan kerjasama menyebabkan kenderaan polis bertindak menyekat kenderaan pacuan empat roda suspek sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan.

“Kedua-dua suspek maut di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemui dua pucuk pistol jenis revolver dan semi-auto, sejumlah peluru, tiga kelongsong peluru, parang, cutter, topeng muka dan sarung tangan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.

Hadir sama di lokasi ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fadil Marsus.

Kata Fisol, suspek berusia 41 tahun memiliki lebih 41 rekod jenayah lampau melibatkan jenayah kekerasan, pemerasan, pecah premis seperti kilang dan kedai serta dadah di seluruh negara termasuk di negeri ini.

Sementara itu menurut Fadil, kumpulan tersebut disyaki sangat aktif sejak 2019 dengan keahlian hampir 30 orang.

“Kumpulan ini dipercayai terlibat dengan gengsterisme, pengedaran dan persaingan dadah, samun menggunakan senjata api dan senjata tajam dengan kekerasan digunakan terhadap mangsa samun,” katanya.

Ketika ditanya nama kumpulan dianggotai suspek dan adakah ia mempunyai kaitan dengan kes tembak yang berlaku di beberapa lokasi sejak kebelakangan ini, beliau bagaimanapun menyatakan perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita masih dalam penyiasatan lagi, namun ada kemungkinan ada kaitan dengan kumpulan dadah seperti mana yang berlaku di Lembah Klang,” jelasnya.

Tambahnya, polis akan terus menangani kes-kes keganasan menerusi operasi selanjutnya secara lebih agresif. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |