SUNGAI PETANI – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum keluhan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang mendakwa mereka terkesan susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kementerian akan meneliti dengan lebih mendalam maksud sebenar di sebalik dakwaan itu bagi memastikan suara dan kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian.
Katanya, ia termasuk mengenal pasti bentuk perkhidmatan atau barangan yang dikatakan menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup mahasiswa.
“Kita akan memperincikan dengan apa yang dimaksudkan tetapi yang diumumkan oleh kerajaan iaitu kenaikan kepada pelajar-pelajar antarabangsa yang datang belajar ke negara kita dengan kenaikan tarif atau kenaikan cukai pengajian mereka ke Malaysia.
“Di pihak kita telah pun disampaikan perkara tersebut, saya telah kumpulkan maklum balas itu manakala bagi peringkat yang lain mungkin ada hal-hal yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dengan pelajar kita,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Merbok di sini hari ini.
Menurutnya, kesemua naib canselor universiti telah diarahkan untuk membuat kajian daripada segi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pelajar khususnya yang berada dalam lingkungan dunia pembelajaran mereka.
“Contohnya bagi pelajar yang mungkin tinggal di rumah-rumah sewa, jika rumah sewa tentu terkesan daripada kenaikan tarif elektrik di rumah berkenaan, mungkin dari segi pembayaran, itu pun saya minta naib-naib canselor untuk membuat kajian,” katanya.
Semalam, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Amar Aidid Mohd. Zain berkata, peluasan skop SST sejak Selasa lalu didakwa turut membawa implikasi kewangan kepada mahasiswa.
Katanya, peluasan SST terhadap perkhidmatan langganan digital, pembaikan alat elektronik, dobi serta pembelian dalam talian memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup pelajar.
Ujar Mohamad Amar Aidid, golongan mahasiswa secara realitinya berada dalam kalangan kelompok berpendapatan rendah dan bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan serta sokongan keluarga.
Dalam pada itu, Zambry memaklumkan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November depan.
“KPT telah menyiapkan pelan itu beberapa bulan yang lalu dan ianya menanti waktu yang terbaik untuk dilancarkan oleh Perdana Menteri sendiri selepas beliau membuat keputusan untuk kita menubuhkan Majlis Pendidikan Nasional yang akan dipengerusikannya,” katanya.