Cikgu gigih latih pelajar tanpa bayaran walaupun kontrak tamat

4 hours ago 1

PETALING JAYA – Semangat Mohamad Ridzuan Mohamed Ali Jinnah yang gigih ke sekolah setiap hari untuk melatih pelajar dalam acara sukan meskipun kontraknya di bawah skim MySTEP tamat mendapat perhatian ramai.

Perkara itu dikongsi rakan sekerja, Nabilah Nizar menerusi hantaran Facebook dan kini meraih perhatian ramai, sekali gus merayu agar Kementerian Pendidikan (KPM), Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan pihak berkaitan memberi perhatian terhadap sumbangan lelaki berkenaan.

Biarpun tidak menerima sebarang bayaran, Cikgu Ridzuan tetap melatih pelajar secara sukarela sehingga lewat petang atas rasa tanggungjawab dan kasih terhadap anak-anak didiknya.

“Walaupun kontrak beliau telah tamat, sekiranya acara sukan masih berlangsung, beliau akan datang ke sekolah setiap hari hingga ke petang demi melatih murid-murid kami dengan penuh dedikasi tanpa sebarang bayaran.

“Semua ini beliau lakukan atas rasa tanggungjawab dan kasih sayang terhadap murid-murid,” tulisnya.

Cikgu Ridzuan berkhidmat selama lebih tujuh tahun sebagai guru ganti di beberapa sekolah sekitar Timur Laut, Pulau Pinang.

Selain mengajar, lelaki itu dianggap sebagai tunjang utama dalam pencapaian sukan sekolah, terutama di Sekolah Menengah Kebangsaan Air Itam.

Antara kejayaan di bawah bimbingan Cikgu Ridzuan termasuk juara bola baling peringkat zon dan negeri pada tahun ini, serta pencapaian beberapa murid yang berjaya mewakili Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan.

“Beliau melatih pasukan bola baling, bola sepak, bola jaring, olahraga dan banyak lagi. Setiap tahun sekolah bawa pulang pingat hasil kerja keras beliau,” tambah Cikgu Nabilah.

Cikgu Ridzuan juga aktif membantu mendapatkan dana bagi menjayakan program-program sekolah.

Oleh itu, Cikgu Nabilah menyeru pihak yang berkaitan memberikan peluang buat guru berbakat itu.

“Pandanglah orang ini. Orang begini sangat berjiwa besar. Inilah saya katakan jiwa pendidik yang sebenar. (Satu) Kerugian yang amat besar kepada pendidikan negara jika KPM melepaskan orang yang berjiwa guru ini,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan kekaguman terhadap dedikasi Cikgu Ridzuan.

“Pendidik yang berjiwa besar,” komen Aus Afffan.

“Hebat betul..bukan senang nak dapat cikgu yang berjiwa mendidik,” kata Inoi Masdar. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |