‘Tergamak mereka ‘pedajal’ saya makan petai’

4 hours ago 2

RAMLAH Ram, sepotong nama yang pernah gah di persada seni suara suatu ketika dahulu.

Paling diingati, lagu nyanyian Ramlah berjudul Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dijulang sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu pada 1988.

Namun, siapa tahu di sebalik kemasyhuran yang dimilikinya suatu ketika dulu, penyanyi berusia 60 tahun itu pernah menjadi mangsa buli dalam kalangan rakan industtri.

Anak kelahiran Tangkak, Johor itu berkata, isu pilih bulu dalam kalangan penggiat seni bukanlah satu perkara baharu tetapi yang membezakan adalah dia dibuli secara fizikal sementelah artis zaman kini pula terdedah dengan pembuli siber.

Paling menyedihkan, dia dibuli orang sekeliling yang mencemburui kejayaannya meraih anugerah dan menang banyak pertandingan nyanyian.

“Kalau nak cakap tentang buli dalam kalangan artis, saya dah lalui 30 tahun lalu. Masih berbekas lagi rasa sakit hati ini.

“Saya tak pernah menunjuk-nunjuk apatah lagi mendabik dada dengan kejayaan sendiri. Selama ini hanya berkongsi kegembiraan tetapi tidak sangka ada orang iri hati,” katanya kepada HibGlam.

Pertama kali berkongsi dengan media, Ramlah mendedahkan pernah dibuli menjamah nasi yang digaul bersama petai.

“Masih ingat lagi satu ketika dulu saya pernah dibuli rakan industri makan petai.

“Saya pula bukan individu yang makan petai tetapi mereka diam-diam gaul petai dalam nasi selepas berakhir sebuah acara. Bila tanya, semua cakap tak tahu.

“Tergamak mereka ‘pedajal’ saya makan petai. Depan nampak macam rakan yang baik tetapi di belakang mereka buat benda bukan-bukan,” katanya lagi.

Sambungnya, perkara tersebut membuatkan hatinya sedih malah sama sekali tidak menyangka pembuli tergamak memperlakukan dirinya sedemikian rupa.

BERCERITA kepada wartawan HibGlam, pengalaman lalu ternyata menjadi asbab untuk Ramlah mudah berasa simpati dengan nasib penyanyi baharu seperti Aina Abdul yang sering menjadi mangsa buli netizen.

Buli

“Sampai hati mereka buat saya begitu. Balik rumah saya menangis dan bertanya kepada Tuhan kenapa perlu melalui pengalaman begitu.

“Semua itu berlaku sekitar awal tahun 1990-an. Sampai sekarang saya masih ingat perbuatan mereka,” jelasnya.

Ramlah turut menyifatkan perbuatan sebegitu melampau dan tidak menghormati dirinya sebagai manusia meski ketika itu masih ‘hijau’ dalam industri.

“Tindakan itu dianggap sebagai kurang ajar dan tiada rasa hormat kepada saya.

“Saya pula ketika itu bukan nama besar dan tak berani melawan,” katanya.

Pernah melalui momen pahit dan menjadi mangsa buli, Ramlah mengakui hatinya mudah terkesan apabila melihat beberapa penyanyi baharu turut mengalami hal sama.

Antara kes buli artis yang paling menarik perhatiannya adalah Aina Abdul.

“Kalau nak cakap soal buli, sebagai penyanyi senior, saya simpati dengan nasib yang harus Aina lalui beberapa tahun kebelakangan ini. Berat sungguh dugaan dia.

“Sebenarnya, penyanyi generasi muda ada idea dan aliran muzik baharu serta berbeza tapi paling sedih melihat peminat yang tak habis-habis bergaduh.

“Kalau minat, kenapa nak bergaduh sehingga wujud situasi tidak sihat.

“Penyanyi dan muzik macam makanan, pilih mana yang anda suka tetapi jangan paksa orang untuk minat benda sama,” kata pelantun lagu Sesaat Kau Datang itu.

Baginya, kehadiran barisan penyanyi generasi baharu perlu diraikan dan bukannya dijadikan mangsa kecaman sehingga melenyapkan semangat untuk terus berjuang dalam industri seni.

“Kenapa jadi begitu. Kasihan sebab kecaman yang Aina dapat sangat teruk sampai menjatuhkan kariernya.

“Dia antara pelapis hebat selain Ernie Zakri, Nadeera dan Marsha Milan.

“Kenapa nak jatuhkan dia? Kadang-kadang melampau, saya harap dia kuat, tolong sampaikan mesej ini kepadanya,” jelasnya.

Berkongsi perkembangan terbaharu, Ramlah berkata, dia kini fokus mengembangkan bisnes kosmetik yang semakin mendapat sambutan ramai.

Jelasnya, tiada apa lagi yang mahu dikejarnya ketika ini termasuk populariti, sebaliknya hanya mahukan kehidupan lebih tenang.

DI SEBALIK senyumannya, siapa sangka Ramlah Ram pernah teruk dibuli ketika awal kemunculannya dalam indusri hiburan tanah air. – ISKANDAR ISHAK

Tak kejar duit, cinta

“Pada usia sekarang, tiada apa lagi yang saya kejar. Duit, kemasyhuran termasuk cinta sekali pun, tidak perlu kejar pun.

“Apa orang cakap sendu atau sebagainya, saya tidak kisah.

“Jadi, saya selesa dengan kehidupan sekarang. Kalau ada lagu yang bagus, saya akan terima. Sekarang pun ada bisnes kosmetik, alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik,” jelasnya lagi.

Dalam masa sama, Ramlah menegaskan kasih dan cinta Allah adalah antara yang dikejarnya ketika ini berbanding trofi anugerah.

“Anugerah apa yang saya tak pernah dapat? Jadi, apa lagi saya nak tuntut daripada Allah?

“Syukur dan jalani sahaja semuanya, sudah puas.

“Masa awal dulu pun saya tak pernah ada cita-cita nak jadi penyanyi. Saya cuma suka-suka dan gembira nak hiburkan orang tetapi Allah beri lebih.

“Semua ini sudah lebih dari cukup,” ujarnya seraya menggulung perbualan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |