Vape sudah jadi menu ‘sarapan pagi’ pelajar – CAP

9 hours ago 5

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan kebimbangan terhadap penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan pelajar apabila ada dalam kalangan mereka kini menjadikan peranti itu sebagai menu ‘sarapan pagi’ sebelum ke sekolah.

Pegawai Pendidikan Kanan CAP, N.V. Subbarow berkata, pihaknya mengulangi gesaan terhadap pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi menyelamat nyawa kanak-kanak dan anak muda daripada terjebak masalah tersebut.

Menurutnya, CAP merayu kepada pihak pentadbir negeri-negeri yang masih belum mengharamkan penjualan vape dan e-rokok agar melaksanakannya dengan serta-merta.

“Mereka masih berada dibangku sekolah dan masih belum menamatkan persekolahan. Umur mereka adalah dari lapan hingga 16 tahun dan mereka sudahpun mengamalkan tabiat menghisap vape dan e-rokok.

“Hasil dapatan CAP, beberapa masalah sosial telahpun wujud akibat daripada pengambilan vape ini. Ada pelajar yang menghisap vape sebelum memasuki ke kelas.

“Malah, ada pelajar yang menghisap vape pada waktu pagi dan tidak mahu makan pagi. Sarapan pagi bagi pelajar ini adalah cecair vape,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, walaupun pihak sekolah telah mengharamkan vape di dalam sekolah namun masih terdapat pelajar yang berani menyeludup masuk peranti elektronik itu dengan menggunakan pelbagai cara.

“Mereka pandai membawa masuk vape ke dalam kawasan sekolah, malah masa kini kita nampak ada pelajar yang menghisap vape di surau.

“Masalah vape bukan lagi masalah tiap-tiap negeri. Ini adalah masalah nasional. Pihak kementerian yang berkenaan perlu mengambil tindakan dengan serius.

“Janganlah bersikap melepas tangan dan menyerahkan masalah ini kepada pihak negeri-negeri untuk menyelesaikannya,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |