[VIDEO] ‘Tak apalah abang, saya kotor…..’

8 hours ago 5

PETALING JAYA – Kisah menyayat hati seorang lelaki kudung berjalan menggunakan tongkat dalam hujan demi membeli makanan menyentuh hati ramai pengguna di media sosial.

Menerusi satu hantaran video di akaun TikTok @Storie.my, lelaki dikenali sebagai Jefree dilihat berjalan perlahan di tepi jalan sebelum disapa pemilik akaun tersebut yang berhenti untuk menawarkan bantuan.

Jefree menjelaskan dia dalam perjalanan untuk membeli makanan, namun menolak pelawaan menaiki kereta kerana bimbang akan mengotorkan kenderaan.

“Tak apalah abang, saya kotor… nanti kereta abang kotor,” katanya.

Namun pemilik akaun itu tetap mempelawa Jefree kerana mahu membantu, sebelum membawanya membeli makanan dan kemudian menghantarnya pulang ke rumah.

Sepanjang perjalanan, Jefree sempat berkongsi kisah hidupnya yang tinggal bersendirian tanpa ibu bapa dan kehilangan kaki sebelah kiri akibat kebakaran yang memusnahkan rumahnya.

Dalam video tersebut turut memaparkan keadaan rumah Jefree yang gelap dan kosong selepas tragedi kebakaran.

Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen meluahkan rasa sebak dan simpati terhadap nasib Jefree serta memuji tindakan pemilik akaun tersebut.

“Dia tak minta duit pun… siap ‘offer’ nak bagi duit. Cumanya, dia minta tolong belikan saja. Kesiannya,” kata Aimie.

“Bila dia cakap ‘saya kotor lah abang’, aku menangis. Abang memang baik sebab itu Tuhan temukan abang dengan orang baik ini,” kata Royie.

“Seronok dapat tolong orang macam ini, sedikit pun tak rasa rugi. Nikmat bantu orang susah,” komen Hanshi. – KOSMO! ONLINE

@storie.my A simple meal is all he lives for today , Storie of Jefree #storiemy #Malaysia ♬ original sound – Storie
Read Entire Article
Pertanian | | | |