DETIK bersejarah tercipta di Brasilia, Brazil apabila ratu wushu negara, Tan Cheong Min muncul wira negara dengan menggenggam dua pingat emas dan satu perak pada Kejuaraan Dunia Wushu 2025.
Atlet berusia 26 tahun itu menjuarai acara Nangun wanita serta berpasukan (Duilian wanita), selain meraih perak dalam Nandao wanita.
Secara keseluruhan, skuad negara menutup kempen dengan kutipan lima emas, satu perak dan dua gangsa sekali gus menjadikan edisi kali ini paling cemerlang buat skuad negara.
Cheong Min tidak dapat menyembunyikan rasa bangga apabila berpeluang berdiri di podium sambil menyaksikan Jalur Gemilang berkibar di pentas dunia.
“Saya berbangga dan berbesar hati kerana menyumbangkan dua emas serta satu perak untuk Malaysia. Setiap kali saya melangkah, saya bukan sahaja membawa impian sendiri, tetapi juga harapan negara serta semua yang menyokong saya,” katanya.
Lebih bermakna, kejayaan itu dianggap hadiah kolektif buat pasukan, jurulatih dan pihak yang sentiasa berdiri di belakangnya.
“Laluan ini penuh cabaran dengan turun naik, tetapi momen seperti ini mengingatkan saya kenapa saya tidak pernah berputus asa. Menang untuk Malaysia bermakna segalanya dan saya sangat bersyukur dapat membawa pulang kejayaan ini,” ujarnya.
Cheong Min berkata, kepuasan sebenar bukan sekadar bilangan pingat, sebaliknya terletak pada keberanian mempersembahkan rutin terbaik tanpa kesilapan besar di pentas dunia.
“Bagi saya, ia bukan hanya pingat, tetapi juga tentang dapat mempersembahkan rutin dengan yakin, stabil dan bersih. Melihat usaha itu diterjemahkan dengan dua emas dan satu perak membuatkan saya benar-benar gembira,” jelasnya.
Kejayaan itu turut membuktikan Cheong Min masih menjadi sandaran utama skuad wushu negara, malah tekadnya semakin membara untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini. – KOSMO! ONLINE