23 penumpang bas dikompaun gagal pakai tali pinggang keledar

7 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Seramai 23 individu dikompaun atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dalam Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar di Plaza Tol Gombak, malam tadi.

Operasi pada pukul 8 malam hingga 11 malam itu adalah sebahagian daripada tindakan serentak di seluruh negara bermula kelmarin, bertujuan meningkatkan tahap keselamatan penumpang dalam sektor pengangkutan berjadual dan pelancongan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, sebanyak 44 buah bas diperiksa dalam operasi berkenaan, melibatkan 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran.

“Pihak kami turut mengesan tiga kes melibatkan penumpang di bawah usia 18 tahun dan telah diberikan nasihat serta advokasi oleh anggota penguat kuasa. Di bawah peruntukan sedia ada, kadar kompaun maksimum RM300 boleh dikenakan terhadap penumpang yang gagal memakai tali pinggang keledar.

“Bagi pengusaha bas yang melanggar peraturan pula, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan jika kesalahan berulang atau gagal mematuhi arahan,” katanya pada sidang akhbar ketika operasi berkenaan, semalam.

Beliau turut mengingatkan pemakaian tali pinggang keledar merupakan tanggungjawab bersama antara pengusaha dan penumpang dan bukan sekadar tuntutan undang-undang, tetapi komitmen terhadap keselamatan serta nyawa.

Penumpang juga digalakkan untuk melaporkan sebarang kegagalan penyediaan tali pinggang keledar kepada JPJ melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau emel ke [email protected] beserta maklumat lengkap.

“JPJ akan meneruskan kempen kesedaran dan pendidikan awam secara berterusan, termasuk melalui media sosial, infografik dan kerjasama bersama pengusaha bas serta pengusaha terminal,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |