Nahas 6 kenderaan: Wanita, anak dalam kandungan maut selepas bertarung nyawa

11 hours ago 6

SUNGAI BULOH – Wanita yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie di sini, kelmarin dilaporkan baru sahaja meninggal dunia.

Perkara tersebut disahkan oleh ibu saudara mangsa, Cik Ah, 56, ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Cik Ah berkata, mangsa, Norfazlin, 29, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh selepas bertarung nyawa sejak semalam.

Menurut Cik Ah, Norfazlin berdepan dengan beberapa kali pembedahan kerana mengalami pelbagai komplikasi.

Ujarnya, pembedahan yang pertama adalah untuk mengeluarkan anak berusia lima bulan yang meninggal dunia dalam kandungan impak daripada kemalangan tersebut.

Katanya, pembedahan kedua pula dilakukan kerana adanya pembedahan dalaman yang dialami mangsa.

“Keadaan Norfazlin sangat teruk kerana mengalami rahim pecah, selain itu tengkuk dan tulang rusuk Norfazlin juga patah,” katanya.

Menurut Cik Ah, ketika kejadian, Norfazlin bersama suami, Mohammad Alif, 30, bersama anak sulung mereka, Afina, 3, sedang dalam perjalanan pulang ke rumah yang terletak di Kuala Selangor.

Jelasnya, Norfazlin yang juga suri rumah mempunyai masalah jantung lemah dan sedang memakai alat perentak jantung untuk memantau keadaan kesihatannya.

“Masa kejadian, Norfazlin baru balik dari hospital menukar bateri alat perentak jantung dia,” katanya.

Dalam pada itu, Cik Ah berkata bayi yang meninggal dunia telah selamat dikebumikan di Kampung Gajah, lewat petang semalam.

Ujarnya, anak sulung Norfazlin pula mengalami patah kaki selain pendarahan di mulut akibat pipi berlubang, namun kini dilaporkan stabil.

“Suaminya yang bekerja sebagai polis bantuan pula menerima lebih 100 jahitan di mulut. Bagaimanapun, telah keluar hospital pagi tadi,” katanya.

Semalam media melaporkan seorang wanita dan anaknya cedera parah dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di persimpangan lampu isyarat Bukit Subang berhampiran susur Lebuh Raya Guthrie di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pukul 1 tengah hari itu, kereta dipandu wanita berusia 29 tahun dengan anak perempuannya berusia empat tahun berada dalam kerusi bayi dirempuh sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar pukul 1.20 tengah hari.

“Siasatan awal menerusi rakaman video papan pemuka mendapati sebuah lori dari arah Batu Arang menghala ke Cyberjaya dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa.

“Pelanggaran turut melibatkan dua kereta serta sebuah van dan kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya dalam kenyataan semalam. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |