KUALA LUMPUR – Dua bekas pekerja kilang pembungkusan makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan pecah amanah harta syarikat bernilai lebih RM2.97 juta, tahun lalu.
Tertuduh, Koh Kian Hwee, 57, dan Kua Hsean Soon, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Hamidah Mohamed Deril.
Mengikut pertuduhan, mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Jalan Genting Kelang, Setapak di sini antara 25 Jun hingga 16 Oktober 2024.
Perbuatan itu didakwa mengikut seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 Kanun keseksaan yang boleh dihukum penjara minimum setahun atau maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pendakwaan di bawah seksyen 408 Kanun Keseksaan adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Bagaimanapun jika mahkamah mempertimbangkan (untuk memberikan) jaminan untuk kedua-dua tertuduh, pendakwaan mohon mahkamah menetapkan jaminan yang tinggi dan turut mengenakan syarat tambahan,”katanya.
Sementara itu, peguam bela, Carmen Eu Kah Mun yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diberikan jamin dan bersetuju dengan sebarang syarat tambahan.
“Anak guam saya sentiasa memberi kerjasama sepanjang siasatan dan tiada risiko melarikan diri. Mereka juga tidak lagi bekerja dengan syarikat tersebut, oleh itu tiada risiko untuk mereka kacau ganggu terhadap siasatan kes.
“Kami memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah iaitu RM15,000 bagi kedua-dua tertuduh dan syarat tambahan boleh dikenakan kepada tertuduh,” katanya.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport mereka diserahkan ke mahkamah sebagai syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 11 Jun ini untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE