
- Oleh NOR AINNA HAMZAH
- 1 September 2025, 4:02 pm
PORT DICKSON – Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 2, Jalan Pantai, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian pada pukul 8.02 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Katanya, siasatan awal mendapati lori tangki itu keluar dari stesen minyak untuk membelok ke jalan utama. Pada masa sama, motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kanan lori tangki tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal Yamaha 135 LC cedera parah di bahagian kepala dan disahkan maut di tempat kejadian. Pemandu lori tangki berusia 60 tahun tidak cedera,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Maslan, mayat mangsa dihantar ke Hospital Port Dickson di sini untuk dibedah siasat.
Kedua-dua kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut. Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut diperoleh bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian. – KOSMO! ONLINE