PETALING JAYA – Perasaan teruja sebuah keluarga untuk bercuti bertukar cemas apabila bilik penginapan mereka diketuk pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sekitar pukul 1 pagi, meskipun mereka datang bersama anak kecil.
Wanita dikenali sebagai @Frhhlyn_ menerusi hantaran di akaun Threadnya, berkata, dia dan suaminya baru sahaja tiba untuk bercuti di Cameron Highlands sebelum dikejutkan dengan ketukan kuat di pintu bilik ketika sedang bersiap untuk tidur lewat malam.
“Baru je harini sampai, elok tengah malam nak tidur pukul 1 pagi dah kena ketuk pintu dengan JAIP. Masalahnya saya dan suami bawa anak, kalau berdua tu mungkinlah orang ingat kami ni ‘couple’,” kongsinya.
Katanya, pegawai JAIP memaklumkan pemeriksaan dilakukan kerana mereka mungkin kelihatan seperti pasangan baru bercinta hingga menimbulkan syak wasangka.
“Abang JAIP ni cakap mungkin awak berdua nampak macam orang baru bercinta. Pasni kita tampal kad nikah kat dahi.
“Masalahnya bilik saya je dia ketuk. Lepas tu bilik sebelah buka pintu juga, dia cakap dekat bilik sebelah tu minta maaf,” katanya.
Tambahnya, empat pegawai lelaki JAIP dilihat hadir ketika pemeriksaan dijalankan, namun tiada kelibat pegawai wanita.
Wanita itu turut berseloroh bahawa bukan sekadar kad kahwin yang diminta sebagai bukti, malah gambar nikah, gambar kahwin, sijil, kad kahwin dan MyKid anak juga disebut seolah-olah perlu ditunjukkan.
“Yang penting last sekali nak tengok, tenung muka suami lama-lama sebab sekarang rambut suami dah panjang. Dia takut orang lain,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati sebahagian orang ramai mengecam tindakan JAIP yang dianggap menganggu privasi pelanggan.
Bagaimanapun, ramai juga memuji tindakan JAIP kerana dianggap perlu bagi mengekang kegiatan maksiat dan zina yang semakin berleluasa.
“Kalau macam ini, biasanya tak ada siapa buat laporan. Mereka buat operasi secara rawak sahaja. Kalau kena, kenalah,” komen Kamal.
“Oklah tu, sama-sama faham, sama-sama bantu cegah maksiat. Kalau tak salah buat apa nak takut,” komen Ahmad pula. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
4


![[VIDEO] Ikan lumba-lumba muncul di Pantai Tembeling](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-11-at-15.13.03.jpeg)














































