3,042 kes kanak-kanak ‘disentuh’, trend meningkat

4 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,042 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dengan pelakunya melibatkan penjaga berdasarkan rekod untuk tempoh lima tahun dari 2021 hingga November lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaku dalam kalangan penjaga itu merangkumi antaranya ibu bapa, guru, pengasuh, bapa angkat atau keluarga angkat.

Menurutnya, berdasarkan pecahan kes, sebanyak 418 kes pada 2021, 511 kes (2022), 634 kes (2023), 667 kes (2024) dan 812 kes setakat November tahun ini.
“Data menunjukkan trend insiden kes ini adalah meningkat. Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari sudut tindakan seterusnya seperti yang dikehendaki, iaitu pertama dari segi undang-undang itu ada dua umumnya.

“Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017, selalunya Seksyen 5 hingga Seksyen 15. Selain itu, Kanun Keseksaan iaitu Seksyen 375, 376, 377 dan 354. Dari segi kuasa undang-undang, kerana ia melibatkan kanak-kanak, ia di bawah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak, D11 Bukit Aman,” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab Senator Datuk Nelson Angang berhubung rekod atau statistik insiden kes keganasan dan kes kesalahan seksual yang melibatkan kanak-kanak dengan pelakunya ialah penjaga.

Saifuddin Nasution berkata, bagi mendapatkan bukti daripada kanak-kanak juga bukan perkara mudah dan PDRM mempunyai Pusat Temubual Saksi Kanak-Kanak yang berbeza tidak seperti bilik sosal siasat bagi mendapatkan kenyataan mereka.

“Perlu ada teknik temu bual khas dan rakaman video. Pertama, trauma mereka perlu dipulihkan dahulu sebelum mereka boleh bercakap. Keterangan pula mestilah boleh diterima di mahkamah. Kita juga bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia,” katanya.

Bagi kes keganasan terhadap kanak-kanak melibatkan pelaku penjaga pula, katanya, sebanyak 4,079 kes direkodkan untuk tempoh 2021 hingga November 2025 dengan pecahan 707 kes (2021), 502 kes (2022), 612 kes (2023), 1,201 kes (2024) dan 1,057 kes (sehingga November lalu). – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |