KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga semalam berjaya menyelesaikan sebanyak 20,032 kes melibatkan kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan diri sepanjang tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyelesaian kes itu bermula daripada isu dokumen melibatkan kanak-kanak tersebut, seterusnya kepada isu kewarganegaraan.
Menurutnya, masalah kanak-kanak tanpa dokumen jika tidak diurus awal akan menyebabkan mereka mengalami isu apabila mencapai usia 12 tahun, termasuk tidak boleh mendapatkan MyKad.
“Jika sakit di hospital, bayaran lebih mahal. Ingin sambung pelajaran juga sukar. Kerana itu, sepanjang tahun ini, saya arahkan pegawai (KDN) menyemak timbunan permohonan lama berkaitan permohonan tanpa dokumen, kad pengenalan dan seterusnya kewarganegaraan.
“Saya tetapkan sasaran 20,000 permohonan mesti dibuat keputusan dalam tahun ini. Jangan lagi sampai permohonan menunggu lima tahun, tujuh tahun, 10 tahun, 12 tahun. Ini melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Senator Mohd. Hasbie Muda berhubung jumlah kes pendaftaran kanak-kanak tanpa dokumen yang diterima dan diselesaikan bagi tahun 2024 dan 2025.
Saifuddin Nasution berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan kelahiran bayi tidak didaftarkan di JPN, antaranya ialah kecuaian ibu bapa.
“Undang-undang menetapkan kelahiran di Semenanjung (Malaysia) mesti didaftarkan dalam tempoh 60 hari. Namun, ada ibu bapa tidak ambil peduli. Kedua, ibu bapa terlibat dengan dadah yang membawa kepada pemenjaraan, anak lahir sebelum itu dan terabai.
“Ketiga, lokasi kediaman jauh daripada pejabat pendaftaran, menyebabkan mereka tidak pergi (daftar). Akibatnya wujud keadaan kanak-kanak tanpa dokumen,” katanya.
Beliau berkata, KDN bersama Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Menyemai Kasih Rakyat atau Mekar Didik bagi membantu menyelesaikan kes kanak-kanak tanpa dokumen ini.
“Kementerian Pendidikan menyerahkan kepada kami 12,101 pelajar yang berada dalam aliran perdana sekolah, tetapi tidak mempunyai dokumen atau dokumen tidak lengkap. Dalam kategori tanpa dokumen ini, KDN mewujudkan pasukan khusus.
“Dalam masa enam bulan, kita selesaikan semua kecuali 1,766 kes. Kenapa tidak selesai? Antaranya keluarga tidak memberi kerjasama atau pelajar berhenti sekolah atau berpindah tanpa membuat susulan. Selain kes tersebut, semua telah diselesaikan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3


![[VIDEO] Ikan lumba-lumba muncul di Pantai Tembeling](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/12/WhatsApp-Image-2025-12-11-at-15.13.03.jpeg)














































