Pahang rekod 43,972 pesakit mental

2 hours ago 3

KUANTAN – Tekanan hidup akibat kos sara hidup yang meningkat, pengangguran dan hutang isi rumah dikenalpasti menjadi antara punca masalah kesihatan mental di negeri ini yang merekodkan seramai 43,972 pesakit mental.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, Kuantan merekodkan jumlah pesakit tertinggi seramai 20,138 orang diikuti Temerloh seramai 8,576 orang dan Bentong seramai 5,488 orang.

“Lipis merekodkan seramai 3,063 orang, Pekan (2,263), Rompin (727), Muadzam Shah (603), Jerantut (804), Bera (644), Jengka dan Maran (684), Raub (579) dan Cameron Highlands seramai 403 orang.

“Antara punca-punca masalah kesihatan mental ialah tekanan hidup dan ekonomi dan masalah keluarga serta hubungan sosial termasuk konflik rumah tangga, penceraian dan kekurangan sokongan emosi,”katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Hassanuddin Salim pada Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-15 Penggal Ke-4 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini

Menurutnya punca lain penyakit mental ialah masalah kesihatan kronik dan bencana termasuk beban penyakit tidak berjangkir, kesan pasca Covid-19 dan banjir yang menyebabkan kehilangan harta benda.

Tambahnya, faktor persekitaran dan sosial juga menyumbanng kepada penyakit mental akibat daripada kesan stigma masyarakat, keterasingan sosial, serta penyalahgunaan bahan terlarang.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah melaksanakan pelbagai inisiatif komprehensif bagi memperkukuh mental rakyat termasuk pengukuhan saringan dan promosi kesihatan mental.

Katanya, sehingga Mei 2025 seramai 34,727 individu di seluruh negeri Pahang telah disaring, 541 telah dirujuk untuk intervensi lanjut dan 70 orang telah disahkan mempunyai penyakit mental.

Selain itu katanya usaha giat dilakukan bagi memantapkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan termasuk penempatan 26 orang pegawai psikologi kaunseling di klinik kesihatan semua daerah dan peluasan perkhidmatan psikiatri secara lawatan di 12 hospital negeri.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |