Begini rupanya bawa pasukan kuda negara pergi bertanding

6 hours ago 6

PETALING JAYA – Seorang petugas yang bertanggungjawab mengiringi kuda-kuda pasukan equestrian negara ke Sukan SEA Thailand 2025 berkongsi pengalaman unik mengendalikan haiwan mamalia itu sepanjang penerbangan.

Menerusi hantaran dimuat naik Muhammad Danial di aplikasi Thread, difahamkan semua kuda berkenaan selamat tiba di Bangkok.

Haiwan itu difahamkan diterbangkan menggunakan pesawat jenis badan sempit (narrow body) seperti Boeing 737 yang diubah suai dengan ruang khas bagi haiwan tersebut.

Muhammad Danial berkata, penerbangan itu menggunakan konfigurasi ‘open head stalls’ yang membolehkan kuda berdiri selesa sepanjang penerbangan.

Jelasnya, antara cabaran utama penerbangan jauh untuk kuda adalah risiko ‘travel sickness’ sekiranya perjalanan mengambil masa terlalu lama.

“Ya, memang ada kuda yang akan rasa tak selesa. Tapi kalau pergi untuk pertandingan kita tak boleh bagi sedation (pelali). Nanti beri kesan pada sampel kencing dan darah.

“Tambahan pula kebanyakan kuda ini sudah biasa ‘travel’ naik lori untuk pertandingan dalam negara, dan saya sendiri yang selalu bawa mereka untuk pertandingan tempatan. Sebab itu saya yakin mereka boleh ‘behave’ dalam penerbangan,” ujarnya.

Disebabkan itu, katanya, sebaik sahaja pesawat mendarat, pasukan pengiring perlu membuat laporan terperinci mengenai keadaan setiap ekor kuda.

“Sebahagian daripada tugas kami adalah, sebaik mendarat, kami kena beritahu secara terperinci sama ada kuda nampak ok atau tidak.

“Kuda mana yang minum atau tak minum, banyak mana dia minum, ada kecederaan sepanjang penerbangan atau tidak. Begitulah rutin kami,” tambahnya.

Muhammad Danial yang turut pernah mengiringi kuda dalam penerbangan panjang selama 30 jam dari Kuala Lumpur ke Amsterdam dengan transit di Baku berkata, kesabaran dan pengalaman amat penting ketika mengendalikan haiwan tersebut di udara.

Mengulas mengenai posisi kuda ketika berada dalam pesawat, beliau menjelaskan bahawa kuda pada asasnya akan sentiasa berdiri sama ada ketika perjalanan darat atau udara.

“Kuda tak tidur baring. Mereka memang tidur berdiri. Kuda kena berdiri kalau ‘travel’, tak kisahlah naik lori ke atau kapal terbang ke. Bila dia dah terduduk, dia akan panik dan cuba bangun, masa itulah boleh menyebabkan kecederaan,” katanya.

Menariknya, Muhammad Danial berkata, setiap kuda yang bertanding di luar negara turut mempunyai pasport khas yang merekodkan penyertaan dan sejarah kesihatan mereka.

“Ya, kuda ada pasport tapi tak adalah cop macam kita. Cuma bila mereka bertanding di luar negara macam ini, rekod pertandingan dan pergerakan mereka akan dicatat,” katanya.

Hantaran pemuda tersebut mencuri perhatian pengguna media sosial yang rata-rata menganggap ianya merupakan satu ilmu baru yang kebanyakan orang ramai tidak tahu.

“Saya suka konten macam ini, ilmu baru untuk saya yang memang tertanya-tanya macam mana pasukan kuda ini dibawa ke luar negara,” komen Reziez.

“Moga semuanya dipermudahkan bro.. Semoga semuanya pulang dalam keadaan selamat juga. Konten yang sangat bagus dikongsi kepada masyarakat. Sebagai rakyat biasa, saya suka,” komen Syida pula. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |