Keberanian politik sebalik kejayaan juara dunia

9 hours ago 5

ADA satu sifat kepimpinan yang sukar diajar tetapi mudah dikenali apabila kita nampak, iaitu keberanian membuat keputusan yang bertentangan arus.

Ketika pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei sebelum ini berdepan konflik dalaman sehingga timbul cadangan dipisahkan, ramai menganggap itu jalan terbaik.

Kata mereka cadangan itu lebih selamat, kurang drama dan memberikan peluang mencari pasangan baharu.

Namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat sesuatu yang orang lain mungkin terlepas pandang. Beliau tidak sekadar menilai statistik perlawanan atau kedudukan ranking, namun membaca potensi, dinamika emosi dan keupayaan mereka untuk bangkit semula.

Dalam dunia sukan berprestasi tinggi, itu satu pertaruhan yang besar serta berisiko.

Keputusan mempertahankan mereka sebagai satu pasangan adalah gabungan kepimpinan berani dan strategi jangka panjang.

Ia bukan sekadar tentang mempertahankan dua atlet tetapi mempertahankan nilai bahawa kegagalan sementara tidak semestinya menutup pintu masa hadapan.

Hari ini, pertaruhan itu membuahkan hasil apabila Tang Jie–Ee Wei bukan sahaja kembali ke gelanggang bersama, malah mencipta sejarah sebagai juara dunia.

TANG JIE (kiri) dan Ee Wei mencipta sejarah apabila menjadi beregu campuran pertama negara bergelar juara dunia, – AFP

Naratif yang bermula dengan ‘retak’ kini menjadi kisah ’emas’ yang memberi inspirasi kepada seluruh negara.

Kebijaksanaan Hannah dalam hal ini menjadi contoh bagaimana seorang Menteri boleh mengubah trajektori atlet melalui keyakinan serta sokongan yang tepat pada waktunya.

Ia mengingatkan kita bahawa sukan bukan hanya tentang pingat tetapi tentang membina semangat juang, kepercayaan dan peluang kedua yang sering kali menjadi bahan bakar kejayaan terbesar.

Dalam lanskap kepimpinan sukan negara, langkah Hannah ini akan dikenang sebagai contoh klasik bagaimana intuisi, empati dan keberanian boleh berpadu menghasilkan keputusan yang memecah jangkaan.

Beliau bukan sahaja mempertahankan dua atlet tetapi mempertahankan keyakinan seluruh negara bahawa dengan sokongan dan visi yang tepat, kisah yang hampir berakhir boleh ditulis semula menjadi legenda. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |