PETALING JAYA – Seramai 512 petugas kesihatan dari 30 hospital termasuk tiga hospital universiti di seluruh negara telah digerakkan bagi menyokong operasi kesihatan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi memastikan kelancaran dan keselamatan aspek kesihatan, perubatan serta kecemasan sepanjang sidang berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 240 petugas terdiri daripada Pakar Perubatan Kecemasan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Pemandu Ambulans serta 272 lagi membabitkan pegawai kesihatan awam, keselamatan dan kualiti makanan,” katanya.
Pasukan itu diketuai oleh Dr. Muhammad Yunus Tauhid Ahmad sebagai Ketua Koordinasi dan Dr. Hafiz Syarbaini Mansor sebagai Ketua Pegawai Perubatan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut Dzulkefly, pasukan berkenaan bertanggungjawab memastikan aspek rawatan, kawalan penyakit berjangkit, keselamatan makanan serta kesiapsiagaan ambulans dan pasukan perubatan bergerak berada pada tahap terbaik.
KKM turut menempatkan anggota di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menjadi pintu masuk rasmi ketibaan para ketua negara dan ketua kerajaan ASEAN.
Dua bilik rawatan khas turut disediakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang berfungsi seperti hospital mini lengkap dengan lapan katil, peralatan pemantauan pesakit, defibrillator dan ubat-ubatan kecemasan.
“Satu bilik dikhaskan untuk ketua negara dan ketua kerajaan, manakala satu lagi untuk delegasi dan petugas,” jelasnya.
Tambah beliau, KKM juga memperketat kawalan kesihatan awam dengan menjalankan pemeriksaan hotel penginapan dua minggu sebelum sidang, pensampelan makanan harian serta mengisytiharkan kawasan sidang sebagai zon larangan merokok.
“Di sebalik kejayaan penganjuran ini, para wira kesihatan terus berkhidmat memastikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung dengan selamat, berdaya tindak dan penuh profesionalisme.
– KOSMO! ONLINE.

4 hours ago
4

















































