Anugerah Lagu Indie tawar hadiah RM36,000, penyertaan kini dibuka

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Pengkarya muzik bebas kini berpeluang memenangi hadiah berjumlah RM36,000 dengan menghantar penyertaan untuk Anugerah Lagu Indie 2025 (ALI25) yang secara rasmi dibuka hingga 15 Mac 2026.

Kesemua penyertaan boleh dihantar menerusi laman web rasmi www.anugerahlaguindie.com.

Anugerah tersebut merupakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh pembangunan industri kreatif serta menyokong bakat muzik indie di peringkat nasional.

Bagi edisi 2025, ALI menawarkan hadiah wang tunai terkumpul sehingga RM36,000 sekali gus mencerminkan kesinambungan sokongan terhadap kelangsungan
dan pertumbuhan ekosistem muzik tempatan.

Penyertaan terbuka kepada semua warganegara Malaysia, sama ada artis solo atau berkumpulan.

Setiap lagu yang dihantar mestilah naskhah asli sepenuhnya dari segi lirik dan muzik dan diterbitkan antara 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2025 di mana-mana platform termasuk YouTube, Spotify, Apple Music, Deezer, SoundCloud, Bandcamp atau siaran radio.

ALI25 tahun ini mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Pop, Rock dan Hip Hop yang merangkumi pelbagai subgenre termasuk indie pop, folk, balada, rock alternatif, punk, shoegaze, post-rock, rap, R&B dan trap.

Antara anugerah yang dipertandingkan bagi edisi kali ini termasuklah Lagu Terbaik, Persembahan Terbaik, Lagu Pop Terbaik, Lagu Rock Terbaik, Lagu Hip Hop Terbaik serta Anugerah Lagu Terpaling Platinum CIK.

ALI25 terus mengekalkan misinya sebagai platform yang meraikan kebebasan berkarya, memperluas peluang pendedahan dan memberi pengiktirafan profesional kepada pemuzik bebas dari seluruh negara.

Maklumat lanjut serta penghantaran penyertaan boleh dibuat secara eksklusif melalui www.anugerahlaguindie.com sebelum tarikh tutup pada 15 Mac 2026 pukul 11.59 malam.

Sejak penubuhannya pada tahun 2020, Anugerah Lagu Indie telah menjadi platform penting untuk mempamerkan kepelbagaian dan kreativiti dalam arena muzik bebas tempatan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |