ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah berjaya menyelamatkan empat wanita Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh paksa dan pemerdagangan orang dalam operasi di sini pada semalam dan kelmarin.
Operasi itu dilaksanakan susulan aduan awam serta risikan oleh Unit Tindakan Imigresen JIM negeri bagi menumpaskan kegiatan sindiket ejen pembantu rumah asing tidak berdaftar yang dipercayai aktif di kawasan tersebut.
JIM Kedah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa dalam serbuan pertama, pasukan operasi berjaya menyelamatkan empat wanita Indonesia yang dikurung di sebuah premis.
“Siasatan awal mendapati mangsa dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan hanya dibenarkan keluar bagi tujuan bekerja.
“Mangsa turut dipaksa bekerja melebihi tempoh yang ditetapkan, manakala dokumen perjalanan seperti pasport, telefon bimbit serta barang peribadi mereka dipegang oleh pihak sindiket,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan trauma fizikal dan mental, selain pergerakan mereka dikawal secara ketat.
“Operasi penyelamatan ini dijalankan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0 bagi tujuan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang.
“Kes disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 [Akta 670],” ujarnya.
Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh hasil serbuan pertama, satu pasukan operasi susulan telah digerakkan ke lokasi kedua.
“Dalam operasi susulan itu, tiga wanita warga Indonesia ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Seterusnya, serbuan di lokasi ketiga menyaksikan penahanan lima lagi wanita Indonesia di bawah akta yang sama,” katanya.
Tambahnya, seorang wanita tempatan yang mengaku sebagai majikan kepada kelima-lima wanita terbabit turut dikeluarkan Borang 29 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
6


![[VIDEO] Suhu sejuk ratusan iguana jatuh dari pokok](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-04-at-10.42.22-PM.jpeg)














































