Emma siap berbazuka, drama baharu Budak Ijat STEN meletup

4 hours ago 6

PETALING JAYA – Pengarah prolifik Shahrulezad Mohameddin atau Budak Ijat kembali menerusi karya terkini, Sujud Terakhir Encik Norman (STEN) yang pantas mendapat perhatian netizen saat teasernya dikongsikan di pelbagai platform media sosial.

Paling menarik, STEN yang akan memulakan siri perdana pada 4 Februari 2026 (hari ini) sudah menjadi buah mulut ramai.

Bukan hanya kerana barisan pelakon iaitu Sharifah Sakinah, Aidil Aziz dan Trisha Ooi yang memberi kesan lewat beberapa babak mencengkam yang dikongsi tetapi netizen tertarik dengan aksi Sakinah yang membawa watak Emma memegang bazuka.

Bazuka dalam erti kata mudah merupakan pelancar roket yang diletakkan di bahu yang boleh memusnahkan pelbagai benda.

Menerusi babak yang dikongsi di media sosial, Emma dilihat memecut kenderaan mengejar pesawat yang dinaiki suaminya, Aidil (Norman) dan Trisha (Alisa) sebelum melepaskan tembakan dari bazuka.

“Apa kena mengena bazooka dengan Sujud Terakhir Encik Norman? Adakah hanya simbolik hati seorang wanita yang penuh amarah atau memang Emma benar-benar menembak jatuh pesawat yang dinaiki suaminya bersama Alisa? 

“Jika mahu tahu kena tonton kerana anda akan menemukan banyak kejutan dan pengajaran dalam naskhah ini,” ujar Budak Ijat.

Apa yang pasti, STEN menjadi naskhah yang mengikut peredaran zaman apabila turut menerima  sentuhan kecerdasan buatan (AI) yang dijayakan pada babak bazooka menembak pesawat.

Menurut Budak Ijat, ‘kolaborasi’ manusia dan penampilan janaan AI bukan bermaksud karyawan kreatif sepertinya kehabisan idea, namun menjadi lambang produksi yang berjalan seiring dengan perkembangan.

“Penonton akan menonton STEN disulam bersama babak dengan bantuan AI. Kita memasukkan elemen ini dalam drama atau karya kerana percaya sebagai karyawan kreatif, AI adalah sebahagian daripada ‘tools’ yang mampu merealisasikan idea kami dalam bajet yang terhad.

“Bagaimanapun pada masa yang sama, ini bukan bermakna kami bergantung kepada AI untuk membikin karya kerana pada akhirnya, kami atau manusia adalah pemikir yang menggerakkan AI itu,” katanya lagi.

STEN bersiaran setiap Rabu dan Khamis menerusi slot DramaVaganza pukul 9 malam di Astro Ria

Drama 28 episod yang mengangkat teman keagamaan, hubungan kekeluargaan dan pengorbanan ini juga boleh ditonton menerusi penstriman di Astro GO dan Sooka. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |