SEPANG – Pelumba Italtrans Racing Team, Diogo Moreira berpeluang untuk dinobatkan sebagai juara dunia Moto2 selepas memimpin carta teratas sejurus pesaing utamanya, Manu Gonzalez tersungkur pada saat-saat akhir dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia sebentar tadi.
Walaupun perlumbaan dimenangi oleh pelumba Britain, Jake Dixon tumpuan utama terarah kepada Moreira yang bangkit dari petak ke-16 sebelum menamatkan saingan di tempat kelima.
Keputusan itu sudah cukup buat pelumba Brazil itu untuk merampas pendahulu kejuaraan dengan kelebihan sembilan mata apabila Gonzalez gagal mengutip sebarang mata ketika bersaing di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
AKSI perlumbaan Moto2 di Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). -FARIZ RUSADIONasib malang menimpa Gonzalez apabila beliau yang sedang bersaing dalam kelompok hadapan, terbabas di Selekoh 15 ketika perlumbaan hanya berbaki dua pusingan.
Harapan untuk mengukuhkan cengkaman kejuaraan lebur sekelip mata apabila beliau menamatkan saingan di tempat ke-25.
Dengan hanya dua pusingan berbaki, Moreira kini memiliki 256 mata keseluruhan mengatasi Gonzalez dari Sepanyol yang mengumpul 247 mata, manakala pelumba Belgium, Barry Baltus, berada di kedudukan ketiga dengan 221 mata.
Peluang Moreira merangkul gelaran dunia kini terbuka luas di Portimao dalam tempoh dua minggu lagi sebelum melangkah ke kelas MotoGP bersama pasukan LCR-Honda musim depan. -KOSMO! ONLINE

2 hours ago
4

















































