PETALING JAYA – Susulan gosip mengenai keretakan rumah tangga, penyanyi Indonesia, Raisa akhirnya mengesahkan bahawa dia dan suaminya, Hamish Daud sepakat untuk berpisah secara baik selepas melalui proses perbincangan yang panjang.
Menurut Raisa atau nama lengkapnya Raisa Andriana, 35, sepanjang perbincangan untuk bercerai, kedua-dua mereka sangat menghormati dan memahami satu sama lain.
“Setelah melalui banyak pertimbangan dan pemikiran yang mendalam, kami membuat keputusan untuk menempuh jalan masing-masing.
“Keputusan ini diambil bersama dengan penuh kesedaran dan lama kami pertimbangkan dalam ruang peribadi kami sebelum dikongsikan kepada umum.
“Sepanjang proses ini, kami tetap saling menghormati, menjaga, dan berusaha memahami keperluan masing-masing sebaik mungkin,” katanya dalam hantaran Instagram.
Selain itu, pelantun lagu Terserah itu turut menegaskan, walaupun hubungan mereka kini berubah namun kasih sayang terhadap anak mereka tetap utuh dan menjadi keutamaan.
“Kami berharap agar kami berdua dapat terus menemukan ketenangan dan berkembang sebagai individu, sebagai ibu bapa kepada Zalina, serta sebagai profesional dalam bidang masing-masing.
“Hubungan kami kekal baik walaupun kini telah berubah bentuk. Namun yang tidak akan pernah berubah adalah kasih sayang kami terhadap Zalina.
“Menjadi tanggungjawab seumur hidup kami untuk terus menjaga, membimbing dan membesarkan puteri kami dalam suasana yang penuh kasih sayang.
“Kami juga akan terus hadir bersama sebagai ‘co-parents’ demi memastikan Zalina membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat,” ujarnya lagi.
Kongsinya lagi, dia memohon agar semua pihak menghormati ruang peribadinya demi kesejahteraan puteri tunggal mereka.
“Sehubungan itu, kami memohon pengertian semua pihak untuk turut menghormati dan menjaga ruang peribadi kami agar Zalina dapat membesar dengan tenang dan bahagia.
“Perpisahan ini bukan kerana kami berputus asa tetapi kerana kami memilih untuk menjadi lebih bijaksana.
“Terima kasih atas segala doa, kasih dan pengertian yang telah diberikan kepada kami selama ini,” jelasnya.
Sebelum ini, status rumah tangga Raisa juga sering menjadi bualan ramai apabila Hamish jarang menemaninya ke acara hiburan.
Wakil Pejabat Agama Jakarta Selatan (PA Jaksel) iaitu Abid M.H mendedahkan tuntutan perceraian difailkan pihak Raisa terhadap Hamish pada 22 Oktober.
Terdahulu, Raisa Andriana, 35, dan Hamish Daud menikah pada 3 September 2017 di Jakarta dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Zalina. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1

















































