Antara anggota polis yang terlibat dalam memantau
perhimpunan aman di Dataran Merdeka.
- Oleh MOHD. FAHMI ISMAIL
- 26 Oktober 2025, 4:47 pm
PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan satu perhimpunan aman membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berlangsung dengan tertib di Dataran Merdeka, hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, perhimpunan yang bermula sekitar pukul 9.30 pagi itu dihadiri kira-kira 100 peserta dan berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Pihak PDRM mengucapkan terima kasih kepada penganjur kerana berjaya mengawal peserta dan mematuhi segala arahan serta peraturan yang ditetapkan. Kami sentiasa komited memastikan keselamatan orang awam serta memudah cara perhimpunan agar berlangsung dalam keadaan aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perhimpunan itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di Kuala Lumpur Convention Centre, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama.
Presiden Trump tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 10.05 pagi sebelum disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kompleks Bunga Raya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
1

















































