Angka korban gempa Afghanistan meningkat kepada lebih 600

3 hours ago 2

KABUL – Lebih 600 orang terbunuh, manakala 1,300 lagi cedera selepas gempa bumi kuat berukuran 6.0 magnitud melanda wilayah timur Afghanistan berhampiran sempadan Pakistan semalam, demikian menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Agensi itu melaporkan bahawa gempa berlaku 27 kilometer (km) di timur laut Jalalabad, wilayah Nangarhar dan pada kedalaman 8 km.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Abdul Mateen Qani memberitahu agensi berita AFP bahawa seramai 610 orang maut, manakala 1,300 lagi cedera di wilayah Kunar dengan banyak rumah telah musnah akibat gegaran itu. 

“Di wilayah Nangarhar pula, sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 255 lagi cedera,” katanya. 

Pihak berkuasa Taliban dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjalankan operasi menyelamat di kawasan paling terjejas.

“PBB amat sedih dengan gempa bumi dahsyat yang melanda wilayah timur Afghanistan yang meragut ratusan nyawa,” kata PBB di platform X sambil menambah, pasukan penyelamat berada di lapangan untuk menyampaikan bantuan kecemasan serta sokongan.

Pegawai kerajaan wilayah Nangarhar berkata, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat gempa bumi kuat itu yang disusuli beberapa gegaran susulan.

“Di daerah Dara-i-Nur, angka kematian mencecah sembilan, manakala jumlah mangsa cedera mencecah 20,” kata kenyataan pihak berkuasa Nangarhar.

Ketua hospital wilayah Nangarhar, Fahimullah Dilawar kemudian berkata, seorang lagi meninggal dunia, menjadikan jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada 10 orang setakat petang semalam.

Gempa bumi itu menggegarkan bangunan dari Kabul ke Islamabad yang merupakan ibu kota negara jirannya, Pakistan selama beberapa saat, kata wartawan AFP. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |