Indonesia perketat kawalan keselamatan

3 hours ago 3

JAKARTA – Pihak berkuasa Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan hari ini selepas enam orang terbunuh dalam huru-hara yang dicetuskan oleh pengumuman elaun mewah untuk ahli Parlimen sebelum ia meningkat kepada protes ganas terhadap pasukan polis.

Polis membuka pusat-pusat pemeriksaan di seluruh ibu negara hari ini, manakala pegawai dan tentera menjalankan rondaan di seluruh bandar serta mengerahkan anggota penembak tepat di lokasi-lokasi utama.

Penunjuk perasaan dijangka berkumpul di luar Parlimen di Jakarta dan di ibu pejabat polis negara. Namun sekurang-kurangnya satu kumpulan, Perikatan Wanita Indonesia berkata lewat semalam bahawa ia membatalkan protes yang dirancang kerana kawalan keselamatan dipertingkatkan.

Pasukan polis di ibu negara mengerahkan konvoi kereta perisai dan motosikal di luar Parlimen lewat semalam dalam menunjukkan kekerasan ketika mereka cuba memberi amaran kepada penunjuk perasaan.

Sekolah dan universiti di Jakarta mengadakan kelas secara online sehingga sekurang-kurangnya hari ini, manakala penjawat awam yang berpangkalan di bandar itu diminta bekerja dari rumah.

Presiden Prabowo Subianto dalam pengumuman malam semalam membatalkan beberapa keistimewaan ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebagai usaha untuk meredakan kemarahan rakyat, termasuk memansuhkan elaun perumahan bulanan baharu sebanyak 50 juta rupiah (RM13,000).

Namun, pakar-pakar berkata, pusingan-U Prabowo itu mungkin tidak mencukupi untuk menamatkan pergolakan tersebut.

“Kerajaan Indonesia kucar-kacir. Kabinet dan Parlimen tidak akan mendengar rayuan rakyat,” kata penjual makanan ringan berusia 60 tahun, Suwardi.

“Kami selalu dibohongi. Disebabkan itu kami marah kerana mereka tidak pernah memenuhi permintaan rakyat,” tambahnya.

Selain Jakarta, protes turut tercetus di bandar-bandar termasuk Jogjakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa, serta Medan di wilayah Sumatera Utara. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |