Indonesia kerah tentera ke Jakarta, kawal protes

11 hours ago 4

JAKARTA – Ribuan rakyat Indonesia berhimpun di seluruh negara hari ini ketika tentera dikerahkan di Jakarta selepas enam orang terbunuh dalam siri protes ganas di seluruh negara.

Sekurang-kurangnya 300 penunjuk perasaan berkumpul di luar Parlimen di Jakarta petang ini sambil diperhatikan berpuluh-puluh askar. 

Ribuan rakyat lagi berhimpun di Palembang, wilayah Sumatera Selatan, manakala beratus-ratus orang berkumpul di Banjarmasin, wilayah Kalimantan Selatan dan Jogjakarta di pulau utama Jawa.

“Matlamat utama kami adalah untuk mereformasi Parlimen. Kami berharap anggota Parlimen akan keluar dan bertemu kami. 

“Kami mahu bercakap dengan mereka secara langsung, mereka adalah wakil kami,” kata penunjuk perasaan dan pelajar universiti, Nafta Keisya Kemalia, 20.

“Adakah mereka mahu menunggu sehingga kita melaksanakan undang-undang tentera?” tambahnya.

Protes maut itu bermula pada minggu lalu berhubung elaun perumahan ahli Parlimen yang berjumlah hampir 10 kali ganda gaji minimum di Jakarta. Ia memaksa Presiden Prabowo Subianto dan beberapa ahli Parlimen membuat pusingan-U bagi langkah tersebut.

Demonstrasi yang bermula secara aman bertukar ganas terhadap unit polis separa tentera elit negara selepas rakaman menunjukkan salah satu pasukannya melanggar penunggang teksi motosikal, Affan Kurniawan lewat Khamis lalu.

Polis menubuhkan pusat pemeriksaan di seluruh ibu negara hari ini, manakala pegawai dan tentera menjalankan rondaan di seluruh bandar serta mengerahkan penembak tepat di lokasi-lokasi utama.

Beratus-ratus askar turut bersiap siaga di monumen negara di kota Jakarta, manakala ada yang ditempatkan di luar Istana Presiden, kata seorang wartawan AFP. – AFP

Read Entire Article
Pertanian | | | |