Lagi ‘penunggu’ 300kg Sungai Batu Pahat ditangkap

12 hours ago 6

BATU PAHAT – Seekor lagi buaya tembaga betina seberat kira-kira 300 kilogram (kg) yang sedang bertelur berjaya ditangkap penduduk kampung di Kampung Parit Lapis, Taman Nira, di sini pagi hari ini.

Menurut seorang penduduk, M. Nazri Sadikin, 54, ketika kejadian pada pukul 9 pagi itu, dia dalam perjalanan ke kandang kambing miliknya di kebun kelapa sawit yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

Katanya, dia terkejut selepas mendapat reptilia sepanjang kira-kira tiga meter bersidai berhampiran lembu ternakannya yang diikat pada pokok kelapa sawit.

“Waktu pagi memang rutin harian saya akan ke kandang kambing untuk melepaskan ternakan dan memberi makan serta mengalihkan lembu ternakan.

“Saya terkejut tengok seekor buaya tengah kenyang sidai di tepi tebing anak sungai, tepi dia ada bangkai kambing kena baham dekat buaya tu. Ini buaya kedua penduduk kampung tangkap. Yang pertama hari itu, mungkin kawanan dia atau si jantan kepada buaya betina ini,” katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi di sini hari ini.

M. Nazri berkata, tidak lama kemudian, mereka ternampak sebuah busut dengan timbunan sampah pelepah sawit dan daun-daun kering dipercayai sarang buaya berkenaan.

Katanya, penduduk kampung menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memaklumkan kejadian itu.

Katanya, pihak Perhilitan sampai dan membuat pemeriksaan sebelum menjumpai 57 biji telur reptilia tersebut yang dipercayai baharu sahaja bertelur dalam tempoh empat atau lima hari.

“Dua hari lalu, kami tangkap buaya jantan seberat 410kg dengan panjang lebih kurang 4.5 meter, yang hari ini agak kecil sedikit, kami percaya mungkin berusia antara 30 hingga 40 tahun berdasarkan saiz dia,”katanya.

M. Nazri berkata, jarak lokasi antara buaya pertama dan kedua yang berjaya ditangkap kira-kira 100 meter.

Jelasnya, Sungai Batu Pahat merupakan antara habitat hidupan liar reptilia terbabit dan penduduk kampung menganggarkan lebih 50 ekor buaya mendiami sungai berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |