Pengguna Malaysia pilih beras berdasarkan jenama – Mohamad Sabu

6 hours ago 4

PETALING JAYA – “Inilah cabaran kita hari ini apabila sesuatu yang baik ditawarkan belum tentu diterima,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurutnya, lebih 4 juta kampit Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi telah pun diagihkan ke seluruh negara sehingga 5 Mei lalu, namun sambutan pengguna disifatkan belum memadai.

Kata beliau, sebagai langkah memperbaiki keadaan, had pembelian BPT telah ditingkatkan daripada dua kepada lima kampit bagi memastikan stok tidak berlapuk dan akhirnya dimakan bubuk.

“Realitinya, pengguna Malaysia masih cenderung memilih beras berdasarkan jenama. Sama ada ia beras tempatan atau import, itu bukan keutamaan.

“Ini bukan soal suka atau tidak suka, tetapi hasil daripada tabiat pasaran yang telah terbentuk sekian lama. Kita perlu faham dan tangani corak ini dengan pendekatan yang strategik, bukan retorik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, beliau telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya melancarkan kempen nasional bertemakan ‘Saya Pilih Beras Tempatan’ bermula bulan hadapan.

Kata beliau, kempen itu bukan sekadar kempen komunikasi, tetapi gerakan untuk mengubah cara fikir rakyat Malaysia dab menyedarkan pengguna bahawa beras tempatan setanding dari segi kualiti dan rasa.

Tambah beliau, kempen itu juga untuk menyedarkan masyarakat pembelian beras tempatan membawa nilai ekonomi yang besar, membantu pesawah meningkatkan pengeluaran domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Kalau kita serius tentang keterjaminan makanan, kalau kita benar-benar mahu memperkukuh kedaulatan negara, maka kita harus mulakan dengan satu tindakan mudah pilihlah beras tempatan.

“Saya menyeru semua pihak baik pesawah, pengguna, pengedar, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama menyokong usaha ini. Bukan kerana ia disuruh kerajaan, terapi kerana ia baik untuk negara.

“Kalau kita mahu negara maju dan berdikari, maka kita mesti berani membuat pilihan yang tepat dan beras tempatan adalah salah satu daripadanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kekesalan apabila ada pihak yang pantas menjadikan isu kekurangan atau gangguan bekalan beras dalam pasaran sebagai isu politik.

Katanya, pihak terbabit tidak mahu melihat gambaran penuh dan tidak mahu memahami bahawa masalah itu bukan hanya soal bekalan semata-mata.

“Ia lebih rumit melibatkan struktur pasaran, psikologi pengguna dan cabaran logistik. Bagi saya, masa tidak boleh dibazir dengan menyalahkan sesiapa. Lebih penting apa tindakan kita untuk ke hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |