Permohonan maaf Papagomo jenaka, tidak ikhlas – Peguam KPN

8 hours ago 4

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain dibenar untuk memulakan prosiding komital kali kedua di Mahkamah Tinggi di sini terhadap blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo.

Prosiding komital kali kedua itu berhubung kegagalan Papagomo mematuhi perintah mahkamah yang menghendaki beliau menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat kepada Razarudin dan mahkamah di platform media sosial selama tujuh hari.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak berhubung permohonan komital kali kedua.

“Defendan (Papagomo) perlu memfailkan jawapan tunjuk sebab pada atau sebelum 23 Mei dan plaintif memfailkan jawapan pada 6 Jun seterusnya hujahan bertulis kedua-dua belah pihak pada 20 Jun. Mahkamah menetapkan 30 Jun ini bagi pendengaran,” kata Techiong.

Terdahulu, peguam Raam Kumar yang mewakili Razarudin berhujah permohonan maaf itu adalah permohonan maaf yang mana defendan sepatutnya perlu mendiamkan diri selepas permohonan maaf berkenaan dibuat di mahkamah pada 30 April lepas.

“Pada 1 Mei lepas, defendan dengan sengaja menerbitkan satu video menerusi TikTok (Papa Azri) dan YouTube (Sir Azri) dan kenyataan itu bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf yang telah dipersetujui dalam perintah komital sebelum ini.

“Permohonan maaf itu tidak ikhlas dan tidak diterbitkan melalui akaun media sosial yang sama seperti perintah mahkamah. Permohonan maaf di media sosial yang diiringi latar belakang muzik ‘Maafkan Kami’ dari sedutan filem ‘Pendekar Bujang Lapok arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee adalah suatu gurauan,” kata peguam itu.

Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Papagomo berkata anak guamnya tidak berniat untuk mempermainkan arahan mahkamah dan permohonan maaf tersebut disiarkan di media sosial defendan dan dilaporkan oleh pihak media.

Razarudin memfailkan permohonan kebenaran berkenaan pada 5 Mei lalu secara ex-parte (sebelah pihak) melalui firma guaman Tetuan K.B. Tan, Kumar & Partners kerana Papagomo melanggar kedua-perintah berkenaan.

Ini kerana Razarudin berkata, permohonan maaf yang dibuat Papagomo pada 30 April lalu di mahkamah terbuka adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat tanpa syarat.

Dalam permohonan kebenaran itu, Razarudin berkata, pada 1 Mei lalu jam lebih kurang 8.30 malam, Papagomo dengan sengaja menerbitkan dan menyebabkan penerbitan satu video dalam talian menerusi platfom sosial media di aplikasi Tiktok (Papa Azri) dan Youtube (Sir Azri).

“Kenyataan defendan itu adalah bertentangan dengan kenyataan bertulis permohonan maaf yang sudah dipersetujui dan dibaca di mahkamah seperti di dalam perintah komital.
Permohonan maaf yang dibuat defendan pada 30 April lalu adalah tidak ikhlas dan tanpa penyesalan meskipun ia dibuat dengan tanpa syarat,” katanya.

Justeru berdasarkan kegagalan memadam terbitan video bertarikh 14 Januari 2025 dan 15 Januari 2025, defendan telah melanggar perintah komital bertarikh 30 April lalu yang mana adalah satu penghinaan kali kedua kepada mahkamah.

Kali pertama Razarudin memfailkan permohonan kebenaran bagi perintah komital terhadap Papagomo pada 24 Januari lalu dengan memohon supaya beliau dipenjara atau didenda kerana menghina mahkamah berikutan tidak mematuhi perintah injunksi pada 10 Januari lalu dengan membuat hantaran terhadap Razarudin di aplikasi YouTube, TikTok, X serta akaun Telegram.

Pada 31 Januari lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan perintah injunksi melarangnya daripada menerbitkan kenyataan berbaur fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin, sehingga perbicaraan kes saman utama diputuskan oleh mahkamah.

Pada 26 Disember tahun lalu, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan menuntut ganti rugi RM3 juta daripada Papagomo.

Saman berkenaan difailkan berhubung kenyataan Papagomo yang melabelkan Razarudin sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perbicaraan kes saman itu ditetapkan pada 28 hingga Disember 2026 dan 11 hingga 15 Januari 2027. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |