Subkontraktor terpaksa pinjam along lepas gagal terima baki bayaran

8 hours ago 3

SUBANG JAYA – Seorang pemilik syarikat terpaksa hidup dalam keadaan merana apabila tidak menerima baki bayaran dalam projek pembinaan struktur bangunan sebuah pangsapuri, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Andrew Kaya, 34, berkata, baki bayaran sebanyak RM281,967.84 yang sepatutnya dilunaskan, gagal diterima walaupun dirinya telah berkali-kali cuba menghubungi pihak kontraktor tersebut.

Jelasnya pada awal perjanjian, pelaksanaan projek seharusnya berjalan dari September lalu hingga Jun ini, namun pihak kontraktor bertindak membatalkan secara tiba-tiba tanpa persetujuan bersama.

“Alasan pihak kontraktor langgar perjanjian katanya kerja tidak memuaskan. Tetapi itu tidak berlaku sebab pekerja saya semua buat betul. Masalahnya adalah dia (pihak kontraktor) yang tidak mahu bayar gaji.

“Selepas itu saya sudah cuba hubungi berkali-kali tetapi pihak sana tidak layan. Sampaikan saya upah pemungut hutang, masih juga tidak dibayar,” katanya setelah selesai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Tambah Andrew, sehingga kini gaji pekerjanya seramai 65 orang tertunggak kira-kira RM162,500 dan tidak dapat dilunaskan selagi pihaknya belum menerima pembayaran daripada pihak kontraktor tersebut.

Bukan itu sahaja, kerana terlalu terdesak, Andrew juga terpaksa meminjam along lebih RM10,000 demi melunaskan segala hutang serta kelangsungan hidup bersama isteri dan tiga anaknya.

Katanya, kini hidup dia sekeluarga diselubungi rasa takut kerana mulai diugut along gara-gara gagal melangsaikan pembayaran sejak November lalu.

“Sebelum projek bermula, saya telah gadai barang kemas dan keluarkan simpanan lebih kurang RM48,000 untuk dahulukan duit saya bagi modal memberi peralatan, bahan dan lain-lain.

“Kemudian saya pinjam along lagi. Sebab berharap akan dapat bayaran semula. Tapi tidak sangka akan ditipu macam ni. Modal tak dapat, untung lagilah tak ada,” ujarnya.

Andrew juga berharap dengan laporan polis dibuat, pihak kontraktor tersebut dapat melunaskan baki bayaran dengan segera sebelum tindakan mahkamah diambil.

“Saya dan keluarga tidak tahu mahu hidup macam mana lagi. Isteri sampai terfikir mahu mengambil nyawa sendiri sebab pertama kali jadi perkara sebegini pada kami.

“Rumah sudah enam bulan tak bayar, hampir nak dilelong. Kereta pun sama mahu kena tarik sebab sudah tiga bulan tak bayar.

“Saya harap bayarlah baki bayaran kami segera. Ini (laporan polis) sahaja langkah terakhir kami sebab sebelum ini pernah cari tetapi tidak dilayan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |