Dua model baharu sedan, SUV pacu jualan EV – Pekema

9 hours ago 3

PETALING JAYA – Central Auto Distributors Berhad (CADB) yang juga anak syarikat Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) akan melancarkan dua lagi model kenderaan elektrik (EV) tahun ini.

Pengarah Urusan CADB, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, dua model baharu tersebut adalah jenis sedan sukan serta kenderaan ultiliti sukan (SUV) di bawah jenama Dongfeng Cars Malaysia.

Jelasnya, peluncuran kedua-dua model itu akan dilakukan pada suku ketiga dan keempat tahun ini bagi merancakkan lagi segmen EV di negara ini.

“Model-model ini disasarkan untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap reka bentuk moden, prestasi dan teknologi mesra alam,”katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Nazari berkata, langkah memperkenalkan dua model baharu itu susulan kejayaan terhadap model Dongfeng Box yang mendapat permintaan yang menggalakkan di negara ini.

Malah katanya, sempena Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang sehingga 15 Mei ini, pihaknya turut memperkenalkan pengenalan eksklusif edisi baharu berwarna perak untuk tahun 2025.

“Ia berasaskan varian Dongfeng BOX E3, dengan bateri 42.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 430 km (CLTC).

“Motor elektrik 70 kW (94hp) memberikan tork 160 Nm dan dilengkapi ciri-ciri canggih seperti Sistem Bantuan Pemandu Tahap 2 (ADAS), skrin infotainmen 12.8”, pengecas tanpa wayar, dan sistem parkir automatik,”katanya yang menyasarkan jualan 500 unit bagi model terbabit tahun ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sempena MAS 2025 juga, pihaknya turut mengadakan kempen eksklusif ‘EV Pertamaku’, iaitu promosi istimewa stok terhad untuk model tahun lalu.

Katanya, kempen itu juga bagi memperluas akses EV berkualiti tinggi dan mampu milik kepada pasaran tempatan.

“Pelarasan harga varian E3 untuk tahun 2024 dan 2025 daripada RM115,000 diturunkan kepada harga RM100,000.

“Kempen ini turut menawarkan pakej promosi ganjaran bernilai sehingga RM20,000 serta pengecas mudah alih tiga pin bersama penutup kabin storan hadapan percuma (bernilai lebih RM2,000 selagi stok masih ada),”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |