TAPAH – Berbekal minat yang mendalam terhadap bidang dandanan rambut, seorang pemuda dari Batu Gajah terdorong untuk mencari rezeki dalam industri tersebut sebaik sahaja menamatkan zaman persekolahannya tujuh tahun lalu.
Muhammad Ismi Nazreen Jismani, 25, berkata, dia mengambil keputusan untuk menyertai Mate BarberShop (Mate) selepas ditawarkan peluang pekerjaan oleh pengasasnya, Yus Andika Yusuf, 32, pada 2018.
Bagaimanapun, katanya, minat semata-mata tidak mencukupi kerana untuk berjaya dalam perniagaan itu, kemahiran yang tinggi harus dimilikinya selaku tukang gunting rambut.
“Disebabkan itu, antara langkah yang diambil bagi memperkasakan kemahiran diri adalah dengan menyertai kursus jangka pendek yang ditawarkan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) pada 2022.
“Menerusi kursus selama 12 hari itu, saya mendalami ilmu berkaitan bidang dandanan rambut. Antara
yang dipelajari termasuklah teori, cara menyantuni pelanggan serta menjalani latihan amali,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Pasak merupakan antara peneraju program flagship pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 di bawah Koridor TVET Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhammad Ismi Nazreen berkata, dia perlu meningkatkan kemahiran diri kerana pekerjaan itu bukanlah mudah seperti yang difikirkan umum.
Bahkan, katanya, tanpa kemahiran yang tinggi, ia boleh mendatangkan kecederaan kepada dirinya ketika menjalankan tugas memandangkan pekerjaan itu memerlukannya untuk mengendalikan peralatan berbahaya seperti gunting serta mesin potong rambut.
Justeru, katanya, kursus jangka pendek yang ditawarkan Pasak perlu dimanfaatkan ramai orang terutamanya mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang kemahiran kerana ia menawarkan banyak manfaat.
“Setelah beberapa tahun bekerja, saya ditawarkan peluang untuk memainkan peranan sebagai pemilik bersama Mate, dengan empat buah cawangan telah dibuka sejak 2016 iaitu yang pertama di Kg. Gajah, Teluk Intan (2018), Seri Manjung (2019) dan terkini di Langkap.
“Sehingga hari ini, kami memiliki 18 kakitangan berbanding tiga pekerja pada awal penubuhan Mate.
“Perniagaan ini menyediakan perkhidmatan dandanan rambut bagi kaum lelaki tanpa mengira usia,” katanya.
Muhammad Ismi Nazreen berkata, industri dandanan rambut juga mempunyai pelbagai cabaran terutamanya daripada aspek persaingan.
Bagaimanapun, katanya, ia perlulah ditangani dengan bijak dan mengambil pendekatan untuk menyokong pemain dalam industri berkenaan.
“Sesiapa pun yang menyertai bidang perniagaan sebegini boleh berjaya. Perkara paling penting adalah sikap dalam menjalankan pekerjaan kerana ia akan menentukan sama ada mereka boleh pergi jauh atau sebaliknya.
“Jika seseorang itu mahu menjana pendapatan secara konsisten dalam bidang ini, mereka perlu jaga disiplin serta kualiti kerja ditawarkan,” katanya.