Pelajar asrama di Pengkalan Hulu didakwa diserang histeria

7 hours ago 4

IPOH – Pelajar perempuan didakwa menjadi sebahagian besar mereka yang diserang histeria di sebuah sekolah berasrama di Pengkalan Hulu pada Ahad lalu yang tular dalam media sosial hari ini.

Seorang penjaga mengakui perkara tersebut, namun menyatakan dia belum mendapat maklumat lanjut daripada pihak sekolah dan mendakwa para pelajar mungkin dibenarkan pulang ke rumah masing-masing buat sementera waktu bagi membolehkan pihak berwajib menguruskan keadaan.

“Ya betul, saya difahamkan mereka kena histeria. Jumlah yang kena tidak pasti tetapi para pelajar dikatakan dibenarkan pulang malam Khamis ini naik bas (ke rumah masing-masing),” dakwanya ketika ditanya Kosmo! mengenai dakwaan kejadian itu yang dikatakan menyerang beberapa orang pelajar sekolah tersebut.

Dia menemui anak lelakinya pada Ahad lalu, namun tidak melihat sebarang perubahan atau dimaklumkan mengenai sebarang kejadian pelik sejak memulakan persekolahan di sekolah asrama tersebut pada tahun ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial kononnya kejadian tersebut adalah serius sehingga ibu bapa dan penjaga berasa sangat risau kerana tidak dapat menghubungi anak masing-masing.

Bahkan respons balas dalam hantaran di media sosial mendakwa kejadian histeria itu menyerang sehingga 30 pelajar yang kebanyakannya perempuan serta turut merebak kepada beberapa pelajar lelaki.

Menurut sumber yang rapat dengan kejadian, serangan histeria berlaku pada malam Ahad membabitkan 25 pelajar perempuan, manakala 12 pelajar lelaki terkena serangan sama pada hari Isnin.

Dia bagaimanapun memaklumkan keadaan sehingga kini sudah terkawal dengan tindakan pencegahan telah dilakukan oleh para guru dan pihak berkaitan termasuk melalui kaedah perawatan Islam.

“Kejadian ini betul. Cuma keadaan sedikit tegang memandangkan ibu bapa yang tinggal jauh dari Pengkalan Hulu amat risau tentang anak mereka,” katanya yang turut menambah ini merupakan kejadian kedua berlaku dan kali pertama pada 2013.

Kosmo! cuba menghubungi pihak sekolah bagi mengesahkan perkara tersebut, namun masih belum dijawab sehingga berita ini diterbitkan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |