PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengakui bukan suatu isu meskipun perkhidmatannya tidak disambung enam bulan lagi.
Beliau berkata, apa yang lebih penting ialah keadannya sihat sepanjang berkhidmat yang sebagai Ketua Hakim Negara selama enam tahun sejak 2019.
“Apa yang boleh saya katakan ialah saya telah berkhidmat selama enam tahun dari 2 Mei 2019 hingga 1 Julai 2025…dalam keadaan sihat, dan saya rasa itu sendiri adalah satu nikmat.
“Tiada penyesalan, kerana saya telah melengkapkan tempoh perkhidmatan. Hakikat saya tidak disambung selama enam bulan lagi itu bukan isu. Langsung tiada isu. Enam bulan tidak begitu signifikan jika dibandingkan dengan enam tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhirnya selepas prosiding kes di Istana Kehakiman di sini hari ini.
Sementara ketika itu ditanya harapan beliau terhadap Ketua Hakim Negara baharu yang akan menggantikannya, beliau memberitahu agar legasi mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman tetap diteruskan.
“Jadi harapan dan doa saya adalah agar legasi itu akan diteruskan oleh sesiapa sahaja yang menggantikan saya, dan juga secara amnya oleh semua hakim yang masih berkhidmat,” kata beliau lagi.
Terdahulu Tengku Maimun menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak pada hari terakhir beliau berkhidmat sebagai hakim tertinggi negara di Mahkamah Persekutuan hari ini.
Tengku Maimun menyampaikan ucapan terima kasih itu bagi mewakili dirinya dan seorang lagi hakim Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang turut bersara wajib lusa.
Dalam prosiding hari ini, Tengku Maimun menyelesaikan tugas terakhirnya terhadap dua kes iaitu persoalan undang-undang bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amir Hariri Abd Hadi dan rayuan akhir enam lelaki yang membunuh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais. – KOSMO! ONLINE