Warga emas diuji masalah kesihatan bersemangat tunai haji

3 hours ago 2

ALOR SETAR – Seorang warga emas tetap bersemangat untuk menunaikan ibadah haji walaupun diuji masalah kesihatan sehingga terpaksa bergantung pada kerusi roda sejak lebih dua bulan lalu.

Abdul Rahman Ahmad, 79, berkata, dia mengalami masalah kesihatan itu ketika tarikh untuk ke Tanah Suci semakin hampir, namun dia reda dengan ujian tersebut.

“Walaupun berkerusi roda dengan diiringi anak saudara, Kamarul Effendee Mat, 54, saya berazam untuk menunaikan ibadah ini dengan sebaiknya untuk mendapatkan haji mabrur.

“Saya mohon doa daripada semua supaya saya sihat dan kuat untuk menyempurnakan ibadah ini serta dipermudahkan segalanya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada Jemaah Haji negeri Kedah Musim Haji 1446H/2025M, di sini semalam.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Katanya, mengikut perancangan, dia menunaikan ibadah tersebut bersama isterinya, Siti Aishah Ibrahim, 76, namun isterinya terlantar sakit.

“Isteri saya memang sedih tidak dapat pergi bersama, namun keadaan kesihatannya kurang baik dan kini hanya terlantar di atas katil. Dia minta saya doakan dia sihat,” ujarnya yang berasal dari Behor Lateh di Kangar, Perlis

Tambahnya, dia mengusahakan sawah sejak berusia lingkungan 20-an dan menabung wang hasil tuaian padi untuk ke Mekah.

Kamarul Effendee pula berkata, dia akan membantu bapa saudaranya itu sedaya mungkin sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya terima tanggungjawab ini untuk bawa pak ngah ke Mekah, insya-Allah doakan kami mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Sementara itu, pesara guru, Mohd. Zainuddin Anuar, 61, gembira kerana dapat menunaikan haji bersama isterinya, Muminah Talib, 58,

“Alhamdulillah saya dan isteri dapat peluang menjadi tetamu Allah, insya-Allah doakan kami mendapat haji yang mabrur,” katanya yang berasal dari Kuala Ketil, Baling dekat sini. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |