Tengku Zafrul dilantik Presiden baharu BAM

3 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ke-13.

Pelantikan itu dibuat pada pemilihan badan induk itu ketika Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini.

Tengku Zafrul mengisi kerusi panas itu menggantikan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan tersebut tahun lagu bagi memberi fokus terhadap tugas sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pemilihan Tengku Zafrul dibuat selepas mendapat persetujuan secara sebulat suara daripada Ahli Majlis badan induk itu.

“Ia satu penghormatan yang cukup besar dan saya akan galas amanah dengan penuh tanggungjawab, dedikasi serta komitmen.

TENGKU ZAFRUL (tengah) berjabat tangan dengan Norza selepas diumumkan sebagai presiden baharu BAM hari ini. – AMIR KHALID

“Saya percaya dengan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperkasa BAM sebagai badan sukan contoh, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau turut meminta diberikan tempoh selama 100 hari bagi mendengar, memahami serta meneliti secara menyeluruh setiap isu dihadapi sebelum melakukan sebarang tindakan.

“Berikan saya 100 hari untuk bertemu dengan semua pihak berkepentingan seperti pemain, jurulatih dan pegawai bagi mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh. Saya perlukan masa untuk memahami dan meneliti secara mendalam setiap isu dihadapi.

“Saya percaya, kunci kepada perancangan jangka panjang yang berjaya ialah pelan yang komprehensif dan realistik. Selepas 100 hari, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik dan pelan tindakan untuk BAM,” ujar Tengku Zafrul.

Sementara itu, beliau juga mengumumkan Datuk V. Subramaniam dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos kekal menyandang jawatan Timbalan Presiden 1 dan Timbalan Presiden 2. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |