KUALA LUMPUR – Skuad beregu lelaki negara memulakan kempen Piala Asia Sepak Takraw 2025 dengan langkah kanan apabila mudah menjinakkan Nepal 2-0 dalam aksi sulung Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.
Turun dengan kombinasi mantap Noraizat Nordin selaku tekong dan Aidil Aiman di posisi pengumpan, Malaysia nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menundukkan regu Nepal yang dibarisi Dipesh Jung Thapa serta Anil Jarga Magar dalam straight set, 15-7, 15-5.
Sentuhan tajam Noraizat yang berperanan sebagai ‘killer’ begitu menjadi, dibantu Aidil yang tenang mengawal rentak permainan, sekali gus menyaksikan Malaysia menguasai permainan seawal set pertama.
Kemasukan pemain muda, Redwan Hakim Muhammad yang menggantikan Noraizat di pertengahan aksi turut memperlihatkan kekuatan barisan pelapis negara apabila berjaya mengekalkan dominasi pasukan sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara perlu melakukan persiapan terbaik apabila akan berdepan musuh tradisi, Thailand dalam aksi kedua peringkat kumpulan malam ini, dengan misi mempertahankan rentak kemenangan serta mengulangi pencapaian gemilang muncul juara Piala Dunia tahun lalu.
Jurulatih negara, Aswadi Abdullah mengingatkan anak-anak buahnya agar bersiap sedia untuk mengatasi gergasi sepak takraw dunia, Thailand malam ini untuk muncul juara Kumpulan B.
Menurut Aswadi, kemenangan ke atas Thailand menjadi keutamaan dan pemain perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, terutama dengan kehadiran muka-muka baharu dalam skuad kali ini.
“Kalau ikutkan, kita perlu wajib menang ke atas Thailand dan kita mahu semua keputusan memihak kepada kita. Dari segi senarai pemain (Thailand) yang diturunkan, ada yang masih baharu dan kita tak pasti ia adalah strategi mereka atau sebaliknya.
“Apapun, pemain perlu bersiap sedia dari semua segi, fizikal dan mental,” katanya selepas tamat perlawanan pembukaan menentang Nepal.
Kemenangan ke atas Nepan bakal memberikan suntikan moral kepada kem negara untuk melangkah ke peringkat kalah mati sambil memberi amaran awal kepada pencabar lain bahawa Malaysia bukan sekadar peserta pelengkap jadual. -KOSMO! ONLINE