Reman Eda Ezrin, suami, 4 rakan dilanjutkan buat kali terakhir sehingga 6 Ogos

4 hours ago 4

NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan perlu menjalani lanjutan tempoh pemenjaraan buat kali kelima di Penjara Wilayah Narathiwat sehingga 6 Ogos depan.

Memetik laporan portal tempatan, apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Narathiwat memaklumkan, lanjutan reman buat kali kelima itu diluluskan oleh mahkamah hari ini selepas pihak pendakwa raya membuat permohonan sementara sebelum kes yang dihadapi oleh enam rakyat Malaysia itu dibawa ke Mahkamah Rayuan sekiranya ada rayuan selepas ini.

Menurutnya, kelulusan itu menyaksikan Eda Ezrin bersama suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, perlu menjalani tambahan tempoh pemenjaraan selama sebulan di penjara sehingga 6 Ogos depan.

“Kelulusan itu adalah yang terakhir dan tiada rayuan (tambahan tempoh reman) dibenarkan selepas ini.

“Mahkamah telah mempertimbangkan permohonan yang dibuat oleh pihak pendakwa raya hari ini yang memohon tempoh memfailkan rayuan dilanjutkan untuk kali terakhir,” katanya.

Menurut portal itu, tiada lagi permohonan untuk melanjutkan tempoh reman selepas ini dan pendakwa raya hanya boleh memfailkan permohonan ke Mahkamah Rayuan atau kesemua tertuduh dibebaskan.

Menurut jurucakap mahkamah, kebenaran lanjutan reman kali kelima itu adalah hak mahkamah dalam mempertimbangkan kes dadah berkenaan dan tidak boleh dipertikaikan.

Terdahulu, Mahkamah membenarkan permohonan pertama daripada pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh reman enam rakyat Malaysia itu bermula 6 Mac hingga 6 April, kedua (6 April hingga 6 Mei), ketiga (6 Mei hingga 6 Jun), keempat (10 Jun hingga 6 Julai) dan kelima (6 Julai hingga 6 Ogos).

Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Mereka dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |