Lelaki lari tidak cukup tanah mati ditembak, ditinggal tepi jalan

7 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia akibat terkena beberapa das tembakan pada badan ditinggalkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mempunyai kaitan kejadian cubaan samun dan melepaskan tembakan di sebuah stesen minyak di Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa yang berusia 42 tahun itu ditinggalkan tanpa dokumen pengenalan diri oleh dua individu yang menaiki kereta berwarna gelap.

Jelasnya, semakan terhadap padanan cap jari mendapati lelaki terbabit merupakan warga tempatan yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

“Hasil semakan rekod mendapati mangsa mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Siasatan awal mendapati, mangsa mempunyai kaitan dengan kejadian serangan sekumpulan lelaki bersenjata parang disyaki bermotifkan samun menyerang sekumpulan tiga lelaki yang lain berlaku pada pukul 12.12 tengah malam, semalam.

“Salah seorang tiga lelaki yang diserang melepaskan beberapa das tembakan ketika mereka diserang,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kumar berkata, susulan kejadian itu, kira-kira pukul 7 malam semalam, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warganegara India masing-masing berusia 30 hingga 40 tahun diberkas di kawasan Dang Wangi, Kuala Lumpur.

Jelasnya, dalam tangkapan itu, polis merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak berisi enam butir peluru, buku lesen pemilikan senjata dan peluru, kereta Honda Accord berwarna hitam serta kelongsong peluru.

Salah seorang suspek yang ditahan bekerja sebagai pengawal peribadi (bodyguard) dan siasatan awal mendapati lelaki terbabit mempunyai lesen pemilikan senjata.

Tambah beliau, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 148 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39 Akta Senjata 1990.

“Polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kaitan si mati dan suspek yang terlibat dalam kedua-dua insiden berkenaan selain polis masih memburu suspek yang masih bebas,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |