‘Ayah suka salji, tapi lain kali ajak ayah sekali ya’

4 hours ago 3

PETALING JAYA – “Ayah suka salji, tapi lain kali ajak ayah sekali ya.”

Demikian reaksi menyentuh hati seorang bapa apabila mendapati ruang tamu rumahnya dipenuhi `salji’ yang sebenarnya bedak bayi ditabur oleh anak kecilnya.

Menerusi satu perkongsian tular di TikTok oleh pengguna @Amien.isa, lelaki berkenaan pada awalnya meluahkan keletihan selepas pulang dari tempat kerja sebelum menerima ‘kejutan’ tidak disangka daripada anak tersayang.

“Saya betul-betul penat. Kepala berserabut, badan rasa nak rebah. Dah balik kerja, baru je nak rehat. Terfikir anak, kenapa diam semacam je ni,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Menurutnya, sebaik membuka pintu bilik, dia terkejut melihat seluruh ruang tamu putih daripada karpet, sejadah hingga ke lantai ditaburi bedak.

Namun, hatinya terus luluh apabila melihat anaknya duduk di tengah ruang tamu sambil menepuk-nepuk bedak dengan penuh khusyuk.

“Dia pandang saya, senyum dan dengan suara paling lembut dia cakap, ‘Ayah, tengok… salji’. Saya terkedu. Kita nampak sepah, dia nampak keajaiban. Kita fikir pasal mop dan vakum, dia cuma fikir ‘Ayah mesti suka salji aku’.

“Saya jalan perlahan, duduk tepi dia dan memeluknya sambil berkata, ‘Ayah suka salji ini. Tapi lain kali ajak ayah sekali ya’,” katanya.

Menurutnya, kadang-kadang ibu bapa terlupa bahawa kepulangan ke rumah bukan sekadar untuk berehat, sebaliknya untuk disambut oleh anak-anak.

“Dan kalau kita marah hari ini, mungkin satu hari nanti, dia tak akan panggil kita lagi untuk tunjuk salji dia. Masa itu, barulah kita betul-betul rasa sepi. Tapi semua tu dah tak boleh kita undur.” luahnya.

Meninjau ke ruangan komen, ramai netizen tersentuh dengan momen tersebut.

“Tak mengapa, nikmatilah. Selagi anak nak bercerita dengan kita dengar saja. Nanti mereka dah besar, dah jauh. Benda ini kita rindu,” komen @Annesns13.

“Rapuh sangat hati, baru baca sampai ayah penat nak.. Terus nangis,” kata @Justhasya_. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |