Arsenal pecah tabung beli Zubimendi

3 hours ago 1

LONDON – Enggan terus dibelenggu perasaan kecewa, Arsenal mengambil langkah drastik dengan melengkapkan perpindahan mendapatkan perancang tengah Sepanyol dari Real Sociedad, Martin Zubimendi.

Ia susulan pengesahan daripada pakar perpindahan, Fabrizio Romano yang melaporkan Arsenal sudah mencapai kata sepakat dengan Sociedad berhubung yuran perpindahan arkitek tengah berusia 26 tahun itu.

“Zubimendi kini secara lisan telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian jangka panjang, jadi langkah rasmi mesti diikuti dengan segera menerusi nilai perpindahan sebanyak €60 juta (RM290.21 juta),” ujar Fabrizio sebentar tadi.

Musim ini berakhirpenuh kecewa buat Arsenal selepas tewas kepada Paris Saint-Germain di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah disusuli dengan kegagalan untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi oleh Liverpool.

Disebabkan itu, pengurus Arsenal, Mikel Arteta mahu segera memperkukuh skuadnya dalam pelbagai posisi menghadapi musim depan dengan usaha di belakang tabir telah dimulakan menerusi perpindahan Zubimendi.

Sebagai rekod, Arsenal sudah lama memantau perkembangan Zubimendi yang dianggap antara pemain yang menonjol sehinggakan banyak kelab besar mahu mendapatkan khidmatnya musim lalu termasuk Liverpool.

Kehadiran Zubimendi lebih dilihat sebagai pengganti kepada Jorginho yang sebelum ini sudah menyatakan keinginannya untuk menyertai gergasi Brazil, Flamengo sebaik berakhirnya saingan musim ini.

Thomas Partey yang sudah melepasi usia 30 tahun juga antara pemain yang masih belum memutuskan masa depannya bersama Arsenal musim depan.

Oleh itu, Zubimendi berkemungkinan besar akan mengisi peranan utama sebagai pemain dengan menyarung jersi nombor enam untuk The Gunners, mengambil alih tempat Jorginho sekali gus memberikan lebih kreativiti di bahagian tengah di samping kapten, Martin Odegaard dan Declan Rice. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |