Suri rumah dijel dera anak angkat pakai lesung batu, pisau

5 hours ago 5

KUALA SELANGOR – Perbuatan kejam seorang suri rumah mendera anak angkat perempuannya berusia 13 tahun sejak dari kecil termasuk memukul menggunakan lesung batu dan menoreh dengan pisau berbalas apabila dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhi hukuman itu terhadap tertuduh berusia 54, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Hukuman penjara diperintahkan bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Jun lalu selain bon berkelakuan baik selama dua tahun tanpa penjamin.

Tertuduh juga dikenakan khidmat masyarakat selama 40 jam selama empat bulan setelah selesai hukuman itu.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sebagai penjaga remaja perempuan berusia 13 tahun telah melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak itu.

Ini termasuk dengan cara memukul dengan kayu dan lesung batu serta menoreh dengan pisau pada tubuh badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah hendaklah juga memerintahkan hukuman tambahan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 31 (2) akta sama.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dijaga tertuduh sejak daripada bayi dengan penderaan itu terbongkar selepas pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis kira-kira pukul 6.40 petang, 28 Jun lalu sehingga membawa penangkapan suspek.

Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman diringankan ekoran tidak mempunyai pendapatan selain suaminya juga dipenjara bagi kes dadah.

“Justeru, tertuduh tidak mampu membayar denda dan mohon hukuman penjara daripada tarikh tangkap,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon hukuman setimpal berbentuk deterrent sebagai pengajaran kepada tertuduh secara khususnya dan kepada masyarakat secara amnya mengambil kira faktor kepentingan awam dan kekerapan kes dibawah seksyen ini.

“Tertuduh telah melakukan satu kesalahan serius seperti mana ditakrifkan dibawah seksyen 52B Kanun Keseksaan dan telah melakukan perbuatan serius mencederakan mangsa yang merupakan anak angkat dibawah tanggungjawabnya.

“Ini meninggalkan kesam cedera fizikal serta kesan mental dan trauma terhadap mangsa,” katanya.

Kosmo! Online pada 29 Jun lalu melaporkan seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes dera remaja perempuan yang juga anak angkatnya di Taman Bendahara, di sini.

Terdahulu, tular tujuh video berhubung NGO itu yang menyelamatkan dan membawa mangsa itu ke pihak polis. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |