SEREMBAN – Buat julung kalinya solat Jumaat didirikan di Surau Madani dekat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban arah selatan di sini selepas ia melakar sejarah sebagai surau pertama mendapat kebenaran menunaikan ibadah itu hari ini.
Seramai kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat pertama tersebut yang mana 60 daripadanya merupakan permastautin tetap dan pekerja, manakala selebihnya adalah pengguna lebuh raya.
Jemaah yang hadir itu melebihi kapasiti kemudahan surau berkenaan yang mampu menampung 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa dengan surau perempuan turut digunakan untuk solat Jumaat hari ini.
Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad (Plus), Datuk Nik Arina Nik Jaffar berkata, ini adalah detik bersejarah bagi Plus dan industri lebuh raya dengan kejayaan pelaksanaan solat Jumaat pertama di kawasan R&R.
“R&R Seremban dipilih dengan mengambil kira beberapa faktor selain kebenaran daripada pihak berkuasa agama.
“Kami kena bincang dengan jabatan agama untuk melihat semua keperluan untuk menunaikan solat Jumaat, tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya,” katanya ketika ditemui di Surau Madani di sini hari ini.
Menurut Nik Arina, kemudahan surau yang besar di R&R Seremban memenuhi jumlah pengguna lebuh raya yang singgah serta mengambil kira bilangan pekerja yang bermaustatin di situ diambil kira sebelum memutuskan untuk melaksanakan solat Jumaat.
Surau itu diberi kebenaran mendirikan solat jumaat selepas pengisytiharan yang disempurnakan Mufti Negeri Sembilan Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin, kelmarin.
Sementara itu, Pengerusi Surau Madani yang juga pemilik premis makanan Kodai Hijau di R&R Seremban, Alias Jaafar, 53, berkata, kini tiada alasan untuk dirinya serta pekerja lain untuk tidak menjalankan solat Jumaat dengan adanya kemudahan surau tersebut. – KOSMO! ONLINE