17 laluan di Lembah Klang ditutup sempena lawatan Presiden China

1 day ago 9

PETALING JAYA – Sebanyak 17 laluan di sekitar Lembah Klang akan ditutup sementara bermula Selasa hingga Khamis ini sempena Lawatan Negara oleh Presiden China, Xi Jinping, ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut pergerakan rasmi delegasi Presiden China.

“Sebanyak 17 laluan terlibat dengan penutupan, dan lencongan jalan akan dilakukan selama 30 hingga 45 minit bagi memastikan kelancaran pergerakan delegasi sebelum dibuka semula,” katanya.

Tambah beliau, seramai 378 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan bagi mengiringi tetamu kenamaan serta mengawal aliran trafik sepanjang tempoh lawatan.

Antara laluan terlibat pada 15 April bermula pukul 6 petang termasuklah Lebuh KLIA, Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.

Pada 16 April pukul 9.30 pagi pula, penutupan akan melibatkan Jalan P5, Lebuh Raya Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya MEX, Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE), Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE), Smart Tunnel, Lebuh Raya KL-Seremban, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Sultan Abdul Halim dan Jalan Sultan Iskandar.

Pada waktu tengah hari pula, laluan yang ditutup membabitkan Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Iskandar, Jalan Damansara, Jalan Istana, Lebuh Raya KL-Seremban, NPE, SUKE, SPE, KESAS, MEX, Lingkaran Putrajaya, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Persiaran Selatan, Lebuh Gemilang dan Jalan P5.

Penutupan turut melibatkan beberapa laluan lain bermula pukul 4.10 petang hingga 6.30 petang seperti Jalan Tunku Abdul Rahman, Lebuh Perdana Barat dan Persiaran Seri Perdana.

Hari terakhir lawatan pada 17 April, penutupan laluan bermula seawal pukul 8.50 pagi yang melibatkan Jalan P5, Lebuh Gemilang, Persiaran Selatan, Lebuh Raya Putrajaya-Dengkil, Lingkaran Putrajaya, ELITE serta Lebuh KLIA.

Sehubungan itu, JSPT menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak berkuasa, mengelakkan laluan terlibat dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kesesakan.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |