Nahas UPSI: Proses bedah siasat 13 pelajar dijangka selesai tengah malam

3 hours ago 2

IPOH – Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, awal pagi tadi telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan kini sedang menjalani proses bedah siasat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, proses bedah siasat telah bermula sebaik jenazah tiba sekitar pukul 9.30 pagi dan dijalankan serentak oleh tiga pasukan forensik bagi mempercepatkan urusan pengecaman dan pelepasan kepada waris.

“Secara purata, satu proses bedah siasat mengambil masa dua hingga tiga jam. Kami sedang berusaha menyelesaikannya secepat mungkin, dengan anggaran keseluruhan selesai selewat-lewatnya tengah malam ini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Jabatan Forensik HRPB di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah pertama dalam proses berkenaan ialah pengecaman jenazah oleh waris, namun beberapa keluarga mangsa masih belum tiba kerana perjalanan jauh dari Pantai Timur.

Menurutnya, urusan pengecaman turut dibantu pihak polis melalui proses pengambilan cap jari, manakala sebaik selesai bedah siasat, jenazah akan terus diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.

“Mana yang telah dikenal pasti dan selesai bedah siasat akan terus diserah kepada waris,” katanya.

Katanya, pihak hospital tidak menunggu lama untuk memulakan operasi kerana mesyuarat penyelarasan telah diadakan lebih awal pagi tadi bagi menyelaras kesemua proses dengan pasukan forensik.

Setakat pukul 3.30 petang tadi, enam bedah siasat telah selesai dijalankan, namun jenazah belum diserahkan kerana proses mandikan jenazah serta keputusan waris sama ada mahu menguruskan di Ipoh atau dibawa pulang.

Tambah beliau, UPSI dengan kerjasama beberapa universiti lain turut menyediakan perkhidmatan van jenazah bagi mempercepatkan penghantaran ke kampung halaman mangsa sebaik jenazah dilepaskan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |