SPRM tahan 18 pegawai penguat kuasa disyaki terlibat ‘counter setting’

2 hours ago 2

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa ekoran disyaki terlibat sindiket ‘counter setting’ bagi melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan 13 individu terdiri empat pegawai agensi penguat kuasa, lima pemilik syarikat, seorang pengurus syarikat dan tiga orang awam direman selama tiga hari sehingga 12 September depan.

Manakala, Majistret Uthman Abd. Ghani membenarkan tiga pegawai agensi penguat kuasa direman selama empat hari sehingga 13 September serta dua lagi selama lima hari sehingga 14 September depan.

Kesemua perintah reman itu dikeluarkan selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, pagi tadi.

Sementara itu, Majistret Sara Afiqah Zulkipli membenarkan lapan pegawai agensi penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 16 September, manakala Majistret S. Arunjothy membenarkan seorang lagi pegawai agensi penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 14 September.

Ia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 50-an ditahan menerusi operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada Selasa.

“Suspek yang ditahan disyaki terlibat sindikit counter setting di mana mereka dipercayai telah memberi dan menerima wang rasuah sebagai balasan untuk memudahkan urusan kemasukkan warga negara asing ke negara ini tanpa menerusi prosedur yang ditetapkan.

“Susulan operasi itu juga SPRM telah menyita wang tunai lebih RM200,000, beberapa unit barangan kemas, kepingan emas, kereta, motosikal, beg tangan, jam tangan dan peranti telekomunikasi,” katanya tadi.

Semalam, Bahagian Perisikan SPRM telah menjalankan operasi di Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor menerusi Op Rentas.

Susulan operasi itu juga, seramai 30 individu telah ditahan dan SPRM turut membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat melibatkan nilai lebih RM1 juta.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |